Tak wajar sekolah dibuka ketika kes Covid-19 memuncak


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar mengkaji semula pembukaan sekolah yang akan dilakukan pada 1 September ini.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, tindakan itu perlu dilakukan memandangkan kes positif Covid-19 sehingga 11 Ogos 2021 telah mencecah sebanyak 20,780 kes.

“Situasi ini amat membimbangkan sekiranya pembukaan sekolah tetap akan dilaksanakan pada bulan hadapan,” kata Naib Presiden Kebangsaannya, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly dalam satu kenyataannya.

Tambah PKPIM, walaupun sekolah merupakan institusi penting dalam negara bagi membangunkan pelajar, namun mereka berasa khuatir akan pengumuman pembukaan sekolah pada awal september ini memandangkan situasi semasa.

“Justeru, PKPIM berharap agar pihak KPM bersedia untuk membuka ruang kerjasama yang lebih padu, holistik dan kolaboratif, duduk semeja dengan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam menangani krisis pendidikan pasca pandemik serta dapat mengkaji semula pembukaan sekolah pada 1 September 2021 sama ada wajar untuk dibuka semula ataupun tidak,” kata mereka.

PKPIM turut mencadangkan supaya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) harus diberi kuasa autonomi dalam membuat keputusan sama ada sekolah harus dibuka atau sebaliknya.

Terdahulu, pada 17 Julai lalu KPM memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi bersemuka mulai 1 September ini, dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam perkembangan berkaitan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula menyatakan pendirian adalah tidak wajar sesi persekolah dibuka ketika kes harian semakin tinggi.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock pihaknya telah menerima maklum balas daripada ibu bapa murid dan guru yang tidak berpuas hati dengan arahan pembukaan sekolah itu mulai September ini.

“Oleh itu, pihak NUTP merayu agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi pertimbangan khas demi keselamatan dan kesihatan anak murid serta warga pendidik.

“KPM perlu menangguhkan pembukaan persekolahan sehingga ke waktu yang lebih selamat,” katanya dalam kenyataan.

Kaji semula keputusan buka sekolah
Tambah beliau lagi, walaupun kadar vaksinasi dua dos sudah melebihi 30%, tetapi ia tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat kerana setiap hari kadar kematian melebihi 100 hingga 300 orang.

Justeru, NUTP berharap agar KPM membantu melicinkan proses PdPR dengan memberi kemudahan internet berkelajuan tinggi dan murah serta memberi bantuan internet percuma kepada keluarga B40.

Post a Comment

0 Comments