Siasat kes rogol dikaitkan dengan ADUN secara telus - Farhash


PIHAK
berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta bersikap telus dan berlaku adil terhadap siasatan kes rogol yang dikaitkan dengan Adun Gombak Setia, Hilman Idham.

Gesaan itu disuarakan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam satu kenyataan semalam.

Ia susulan wujudnya kegusaran sesetengah pihak yang mula curiga sekiranya terdapat unsur campur tangan di dalam kes tersebut memandangkan Hilman merupakan setiausaha politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali.

“Saya mewakili rakyat Malaysia yang mahukan keadilan di dalam sistem perundangan dan meminta ketelusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penyiasatan ke atas mereka yang terlibat tanpa mengira latar belakang individu yang terlibat.

“Dianggarkan seramai enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari di negara ini sejak tiga tahun lalu.

“Sebarang aduan jenayah seksual harus diambil berat demi mewujudkan satu persekitaran yang selamat bagi rakyat Malaysia,” katanya dipetik.

Sebelum ini, seorang wanita yang mendakwa dirogol dua kenalan Hilman mendedahkan bahawa pihak polis masih belum mengambil tindakan setelah sembilan bulan laporan polis dibuat.

Siasatan perlu adil tanpa kira latar belakang
Mangsa melalui peguamnya menyatakan akan memfailkan tindakan saman terhadap pihak polis sekiranya dalam masa tujuh hari masih lagi tidak memaklumkan perkembangan siasatan.

Wanita berusia 33 tahun itu dalam laporan keduanya pada 8 Mei lalu mendakwa Hilman "merancang" insiden terhadap dirinya itu.