PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya 'dicampakkan' selepas gagal dalam persaingan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan, kata seorang Ahli Parlimen.
Hassan Karim (HARAPAN - Pasir Gudang) ketika mengulas desakan beberapa pihak yang mahu gabungan itu dirombak semula termasuk dengan menukar ketua pembangkang berkata, Anwar masih diperlukan gabungan itu terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tambahnya, desakan supaya Anwar meletak jawatan dan memilih orang lain untuk memimpin gabungan itu tidak wajar hanya semata-mata beliau kalah dalam persaingan menjadi Perdana Menteri.
"Ini semua 'nonsense'. Cakap-cakap seperti itu datang dari 'deep state' iaitu musuh HARAPAN yang memang hendak menghancurkan HARAPAN dan Anwar.
Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika dia tunduk terhadap tuntutan kluster mahkamah daripada UMNO.
"Anwar tidak berkompromi. 'Rule of law' atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati.
"Mahkamah tidak boleh diganggu. Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap dan pendirian tegas Anwar," kata bekas Pengerusi KEADILAN Johor itu dalam kenyataan semalam.
Ahad lalu, Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib dalam satu kenyataan mahu HARAPAN dijelmakan semula sebagai HARAPAN Plus dengan seorang pengerusi baharu dilantik.
Ahmad Asri yang dipetik laporan media turut menggesa Ketua Pembangkang di Parlimen ditukar.
Dia menamakan bekas perdana menteri yang meletak jawatan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Warisan, Mohd Shafie Apdal sebagai individu yang boleh menggantikan Anwar.
Bagaimanapun, HARAPAN dalam satu kenyataan semalam menegaskan mereka akan tetap teguh menyokong Anwar yang dianggap sebagai tokoh reformasi yang berjaya menyatukan dan memperkuat parti-parti politik pembangkang di negara ini.
Sementara itu, Hassan yang merupakan seorang peguam menegaskan bahawa Anwar adalah tokoh pemimpin yang diperlukan negara.
Bekas timbalan perdana menteri itu katanya mempertahankan idealisme reformasinya yang diketuainya lebih 23 tahun lalu dan bukan jawatan atau keberahian kuasa Perdana Menteri.
![]() |
Anwar bukan pemimpin pentingkan diri |
"Saya bukan macai Anwar Ibrahim. Saya pengkritik lantang Anwar dalam dan luar parti, secara terbuka atau secara secara peribadi," katanya dipetik.