BELUM Seminggu dilantik sebagai perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dikritik rakyat susulan lawatan rasminya ke daerah dilanda banjir di Kedah semalam.
Lawatan rasmi itu dipertikai ramai setelah tersebar gambar papan iklan besar bersaiz mega di Kuala Muda - salah satu kawasan dilanda banjir - yang mengalu-alukan lawatan perdana menteri itu.
Paparan video yang dirakam media juga menyaksikan persiapan besar menyambut Ismail Sabri termasuk didirikan kanopi dan khemah beropol.
Warganet melihat sambutan besar-besaran itu sebagai satu bentuk pembaziran yang sewajarnya dihentikan memandangkan perbelanjaan bagi keraian tersebut lebih wajar diutamakan kepada mangsa tragedi terbabit.
“Perdana Menteri kesembilan silalah keluarkan arahan tidak mahu lagi pembaziran-pembaziran seumpama ini berlalu lagi,” kata seorang pengguna Twitter.
“Apakah keperluan didirikan sebuah billboard besar yang tertera ayat ‘selamat datang dan tahniah YAB Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia ke-9’ di tengah-tengah kawasan bencana?”
“Adakah ini program ‘gimik’ untuk beliau memperkenalkan diri kepada mangsa-mangsa bencana yang masih menanggung beban musibah bahawa beliau adalah perdana menteri Malaysia yang baharu?” soal Ahli Parlimen Johor Baharu, Akmal Nasir dalam satu kenyataan.
Akmal yang merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan lawatan berkenaan seperti tidak mempamerkan rasa empati dan simpati terhadap mangsa, serta seperti tidak memahami derita dan kesengsaraan mangsa bencana.
“Tidak hairan apabila terdapat pandangan netizen di laman media sosial yang menganggap ini sebagai lawatan sambil belajar yang merugikan tanpa menghiraukan kesukaran rakyat," tambahnya lagi.
Minggu lalu, negara dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur akibat fenomena kepada air di kawasan berhampiran Gunung Jerai.
Penduduk setempat menyifatkan kejadian itu umpama 'tsunami' kecil susulan keadaannya yang berombak kuat sehingga mengakibatkan pokok serta jambatan runtuh dengan sekelip mata.
Sebanyak kira-kira 1,000 rumah di Yan dan Kuala Muda terjejas akibat dilanda bencana banjir dan mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa.
Selain pembaziran itu, warganet turut mempersoal tindakan Ahli Parlimen Bera itu membuat 'rombongan' ahli-ahli parlimen menaiki pesawat kerajaan.
Antara ahli parlimen Umno yang dikatakan turut berada dalam perjalanan itu - seperti dalam gambar tular - ialah Mahdzir Khalid (Padang Terap), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Hasan Arifin (Rompin) dan Mohd Salim Sharif (Jempol).
Ketua wanita Umno Noraini Ahmad turut dilaporkan antara yang berada bersama Ismail Sabri dalam lawatannya itu.
Selain itu sebuah portal melaporkan bahawa mereka difahamkan jalan di kawasan itu juga ditutup bagi meraikan ketibaaan pemimpin Umno itu sekali gus menyukarkan kerja-kerja bantuan terhadap mangsa nahas.
![]() |
Papan tanda besar satu pembaziran |
“Apakah ini contoh yang baik daripada seorang perdana menteri yang sebelum ini ditugaskan menyediakan serta mengumumkan SOP (prosedur operasi standard) bagi mengekang penularan wabak Covid-19?” soal Amkal lagi.
0 Comments