Cara kerajaan tangani banjir lembab, mengecewakan - Anwar


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kekesalan dengan kelemahan ditonjolkan kerajaan dalam menghadapi bencana banjir.

Sambil merujuk beberapa kes kematian membabitkan mangsa-mangsa banjir di Selangor dan Pahang dan kesulitan dihadapi lebih 60,000 orang yang berdepan kesusuhan susulan insiden itu, Anwar menyifatkan kelemahan itu jelas terpampang.

Beliau berkata, tindakan lembab kerajaan persekutuan, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ditambah pula penyelarasan kucar-kacir dengan pihak kerajaan serta agensi tempatan merumitkan krisis. Ia menjadikan satu malapetaka dalam tadbir urus negara.

“Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memungkinkan beberapa pegawai bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu mereka yang terkesan.

“Penyelarasan yang lemah antara pasukan sukarelawan dan ATM hanya menambah kekeliruan dan kekecewaan.

"Krisis ini adalah mimpi buruk yang nyata kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) tatkala malapetaka tadbir urus ini melatari 100 hari pentadbirannya.

“Sewaktu saya turun mengagihkan bantuan kepada rakyat terkandas, saya mendengar dan menyaksikan sendiri babak luar biasa yang memaparkan sikap belas kasihan dan keprihatinan yang tinggi. Saya turut berkongsi kekecewaan mereka berhubung kelemahan kerajaan dalam menangani krisis ini.

“Bagaimanapun, saya kagum dengan semangat kekeluargaan sebenar yang ditonjolkan rakyat berbilang kaum, tatkala pemimpin utama kerajaan sibuk bermesyuarat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Untuk rekod sehingga pagi ini, banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu  telah mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

20 daripadanya di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang.

Kerajaan dikritik teruk setelah didakwa lambat bertindak, termasuk kelewatan pihak berkuasa mengerakkan aset-aset mereka.

ATM tak tunggu NADMA

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak pada Jumaat, membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sumber yang dipetik laporan media berkata, agensi itu “tidak tahu bagaimana untuk menangani krisis berkenaan”, dengan mendakwa tiada seorang pun daripada NADMA atau kerajaan negeri memantau media sosial untuk mendapatkan mesej SOS daripada mangsa.

Katanya, pihak MINDEF “menjerit” kepada kakitangan NADMA, dan baru hari ini agensi itu memanggil mesyuarat untuk menyelaraskan usaha bantuan.

“Seperti tiada keseriusan mengenai situasi terbabit. Justeru, ATM dan MINDEF memutuskan untuk terus sahaja bertindak (menjalankan usaha menyelamat),” tambah sumber itu seperti dilapor.

Sementara itu tambah Anwar, kegagalan demi kegagalan kerajaan dalam mengurus bencana banjir hanya menonjolkan tahap keupayaan sebenar kerajaan yang dikemudi beliau.

Katanya, kegagalan kepimpinan untuk menghadapi bencana ini lebih awal menunjukkan kerajaan sekarang tidak diyakini mampu melonjakkan negara ke arah pemulihan musibah ini, termasuk wabak yang masih mengganas.

Kegagalan k'jaan tambah ketidakyakinan rakyat
Justeru beliau menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan segera menubuhkan jawatankuasa diraja, dan jawatankuasa Parlimen untuk menambah baik tahap kesiapsiagaan bencana.

Kerajaan juga dituntut membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai banjir dan tidak memandang remeh soal pemulihan sebaik banjir pulih.

Post a Comment

0 Comments