Sidang tergempar PAS jadi 'gempar'


SIDANG media 'tergempar' diadakan PAS yang kononnya bagi mengumumkan penyertaan "tokoh" dari parti Amanah kembali kepada PAS benar-benar menjadi gempar.

Ia susulan sidang media yang dipancarkan secara langsung (live) pagi tadi hanya memaparkan latar set meja dan kerusi kosong, lengkap dengan mikrofon, seperti yang biasa dilihat pada sesebuah sidang media selama hampir 1 jam.

Turut dilihat dalam siaran langsung dengan keterangan “TERGEMPAR!!! Majlis Pengisytiharan Tokoh Parti Amanah Negara kembali menyertai PAS” itu ialah gegantung tertera perkataan Badan Perhubungan PAS Selangor.

Dalam kenyataan media, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Roslan Shahrir Mohd Shahrir berkata majlis penyerahan borang itu ditangguhkan "atas sebab yang tidak dapat dielakkan".

“Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan majlis penyerahan borang ahli PAS dari bekas aktivis parti Amanah pagi ini terpaksa ditangguh," kata mereka.

Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi dalam laporan media sebelum ini memberitahu bahawa seorang pemimpin dari parti serpihan PAS yang ditubuhkan pada 2015 itu akan menyertai semula PAS.

Ahmad Yunus berkata dia tidak dapat mendedahkan identiti pemimpin tersebut.

Bagaimanapun dipercayai individu tersebut ialah Bekas pengarah pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor Jaafar Samsuddin.

Jaafar yang meninggalkan PAS bagi menyertai Amanah pada 2016 pada Rabu lalu melahirkan rasa kurang senang dengan sikap pemimpin parti itu yang menurutnya tidak menghiraukan suara anggota parti.

Bagaimanapun, dalam satu laporan lain hari ini Jaafar memutuskan untuk kembali ke pangkuan Amanah dan beliau akan menghantar surat kepada Setiausaha Agung Amanah hari ini berhubung hasratnya untuk menyertai semula parti berkenaan.

Post a Comment

0 Comments