GP Styria: Hafizh Syahrin belum pulih sepenuhnya


PELUMBA
Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilapor masih menjalani rawatan pemulihan selepas terlibat dalam insiden kemalangan pada perlumbaan GP Austria di litar sama Ahad lalu.

Susulan masih dalam tempoh pemulihan, Hafizh masih belum pasti sama ada dapat bersaing pada perlumbaan Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring minggu ini.

Bekas pelumba pasukan KTM Tech 3 itu berkata, beliau masih lagi merasai kesakitan pada kedua-dua belah kaki.

“Walaupun kaki kiri saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius tetapi saya dapat merasakan seperti tulang kaki saya patah. Namun, syukur alhamdulillah saya tidak mengalami tulang patah.

“Cuma setakat hari ini, saya ada berasa sakit pada bahagian dalam, mungkin kecederaan ligamen. Jadi saya kena tunggu beberapa hari ini untuk proses pemulihan.

“Sejak semalam (kelmarin) saya berjalan dengan menggunakan tongkat. Saya harap semuanya akan kembali normal dalam beberapa hari lagi,” katanya dipetik.

Ahad lalu, Hafizh terlibat dalam insiden ngeri apabila merempuh jentera pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini yang terjatuh di selekoh pertama.

Pelumba berusia 26 tahun itu yang sedang memecut dengan kelajuan tinggi bersama barisan pelumba lain tidak dapat mengelak dan melanggar jentera Bastianini.

Akibat rempuhan tersebut, Hafizh terpelanting jauh menuju ke tepi litar dan jenteranya berkecai sebelum bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan seketika.

Hafizh sebelum ini menyatakan harapan segera pulih untuk terus beraksi pada perlumbaan hujung minggu ini.