SURAU dan masjid di Selangor didakwa disalahgunakan sebagai gelanggang berpolitik untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), dakwa seorang ADUN.
Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar(HARAPAN- Meru) dipetik satu laporan media mendakwa tindakan itu dilakukan sebuah parti pembangkang di negeri itu yang menggunakan pengaruhnya untuk mengawal urus tadbir Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Mereka dakwanya mengatur penceramah dan tenaga pengajar yang condong menyokong parti itu, walaupun tauliah mereka diragui.
“Ini perkara yang kita kena lihat, bila berceramah mereka hentam kerajaan HARAPANdan ajar perkara tidak betul, jadikan hadis palsu dan lemah untuk dipegang masyarakat.” katanya dalam sidang DUN Selangor seperti dilapor FMT.
Tambah Fakhrulrazi berkata, pihak itu juga menjalankan aktiviti mengutip derma ketika sesi ceramah.
“Mana dapat kebenaran kutip derma, duit itu ke mana? Kutip derma ni faham-fahamlah, adakah masuk tabung parti atau poket sendiri?
"Walaupun katanya untuk tahfiz, bila kita selidik, tahfiz tiada, tapak pun tiada," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mendesak agensi agama Islam itu menyiasat pegawai yang dikatakan menjadi proksi kepada ahli parti politik terbabit untuk mengatur tenaga pengajar di masjid dan surau di Selangor.
“Kita juga mahu JAIS jelaskan adakah sudah buat tangkapan atau kenakan tindakan terhadap mereka yang tiada tauliah ini,” katanya.
Untuk rekod, pada 2018 Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS mengeluarkan pekeliling rasmi berhubung larangan menggunakan masjid dan surau untuk kempen politik.
Pekeliling itu dikeluarkan selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku ketua agama Islam negeri berkenaan yang tidak mahu kawasan surau dan Masjid melarang disalahguna untuk ceramah, tazkirah dan penerangan mengandungi elemen kempen politik.
![]() |
Jangan guna surau dan masjid untuk berpolitik |
0 Comments