WAKIL Rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) di negeri Perak menggesa seorang Exco kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu supaya meletak jawatan.
Gesaan itu dibuat setelah Mohd Akmal Kamaruddin yang merupakan Exco Kesihatan Perak dianggap gagal menjalankan tanggungjawab dan peranan menangani isu berkaitan Covid-19.
Semasa sesi penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam, ADUN Selama itu diasak pembangkang yang meminta penjelasan pelbagai perkara berkaitan Covid-19 yang antaranya sejauh mana kerajaan negeribersedia berdepan peningkatan kes termasuk isu penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) di hospital.
Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) berkata, Akmal jelas gagal melaksanakan tugasnya apabila tidak mampu menjawab soalan yang dikemukakan ahli dewan apabila hanya membaca teks jawapan.
“Kami nak tahu usaha kerajaan menangani Covid-19 tetapi beliau ternyata tak tahu apa yang sepatutnya dilakukan selaku Exco Kesihatan. Apabila kita timbulkan apa peranan beliau, beliau tidak menjawab, itu yang menyebabkan berlaku ketegangan dalam dewan.
“Banyak keadaan beliau tak pernah turun padang. Dia perlu bantu Menteri Besar seperti turun lawat PPV, lihat keperluan yang ada, apa kekurangan di hospital, ambil tahu kebajikan petugas barisan hadapan tapi kita tak nampak dia turun padang, yang turun padang menteri besar saja.
“Beliau gagal laksanakan tugas. Kalau tak berani atau tidak tahu tanggungjawab, tak tahu jalankan tugas, elok letak jawatan.
"Saya gesa beliau letak jawatan, diberikan kepada orang lain,” kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak itu menurut laporan Utusan Malaysia.
Sementara ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How pula berkata, sesi penggulungan oleh Akmal mengecewakan.
Tindak tanduk Akmal yang seolah-olah meletakkan semua tanggungjawab menangani isu Covid-19 ke atas bahu Menteri Besar telah membawa emosi amarah ramai.
Beliau merujuk alasan Akmal bahawa struktur menangani Covid-19 dipengerusikan oleh Menteri Besar bersama Setiausaha kerajaan negeri yang menurutnya satu alasan tidak wajar dibuat seorang Exco.
“Adalah jelas beliau enggan dan tak mampu menjawab soalan-soalan ahli dewan. Tapi tak mengapa jika beliau mengakui kelemahan, kegagalan dan meminta maaf, kami boleh kerjasama dan sedia terima permohonan maaf.
“Namun beliau bukan sahaja tak mohon maaf tapi apabila ditanya mengapa tak turun padang, beliau jawab ‘kalau terima jemputan menteri besar, beliau akan turun padang’.
“Itu jawapan kurang ajar. Tak pernah dengar Exco tunggu jemputan Menteri Besar, ini satu penghinaan,” katanya.
Sebelum ini, beberapa ADUN mengkritik Akmal yang merupakan menantu kepada Presiden PAS kerana didakwa lemah menjalankan peranannya menangani isu berkaitan Covid-19.
![]() |
Akmal didakwa gagal jalankan tugas |
Beliau membandingkan penglibatan aktif Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam program berkaitan kesihatan dan vaksinasi yang dilihat lebih menonjol berbanding Akmal selaku Exco berkaitan.
0 Comments