Semua sepakat tolak tawaran Mahiaddin


SEMUA
Parti pembangkang menyatakan penolakan terhadap tawaran politik dibuat Mahiaddin Md Yassin.

Pakatan Harapan (HARAPAN) dianggotai parti KEADILAN, Amanah dan DAP melalui satu kenyataan Majlis Presiden semalam menegaskan bahawa  mereka menolak keras segala tawaran kerjasama rentas kepartian yang disifatkan tidak ikhlas itu.

Menurut Majlis Presiden, Mahiaddin dan kerajaan dikepalainya sepatutnya memberi penumpuan untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.

Malah perutusan khas Muhyiddin petang semalam itu adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan lebih teruk dilihat telah membelakangkan peranan Agong apabila mendakwa tiada mana-mana pihak mempunyai majoriti dalam Dewan.

Selain HARAPAN, empat parti pembangkang lain turut telah memuktamadkan pendirian untuk tidak menerima tawaran Mahiaddin itu.

Perkara itu dinyatakan Parti Warisan Sabah (Warisan), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) melalui satu kenyataan bersama.

Kata kenyataan itu, sejak tahun lalu lagi, parti-parti pembangkang telah membuat cadangan untuk menstabilkan kerajaan melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement).

"Namun beliau dengan sombong telah menolak segala tawaran pembangkang. Sejak hari pertama dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau dengan sewenang-wenangnya menyalahgunakan undang-undang demi kuasa.

"keangkuhan Muhyiddin untuk kekal berkuasa dengan cara membeli ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan Sabah, Kedah, Perak dan Johor," kata mereka.

Tambah kenyataan itu lagi, sikap hipokrasi ditunjukkan Presiden Bersatu itu pada pengumuman itu jelas mereka cukup menjelikkan apabila dilihat secara terbuka cuba membeli sokongan untuk kekal berkuasa.

Tawaran Mahiaddin tak dapat sambutan
Selain pembangkang, Umno turut menegaskan bahawa mereka tidak akan mempertimbangkan tawaran dibuat Mahiaddin.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.