Sah letak jawatan, Mahiaddin pangku sementara jawatan PM


MAHIADDIN
Md Yasin sah telah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas mengepalai kerajaan untuk hanya 17 bulan.

Ahli Parlimen Pagoh itu  memutuskan untuk berundur beberapa minggu sebelum dijadualkan berdepan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai perdana menteri di Dewan Rakyat bulan depan.

Dalam satu sidang media sebentar tadi, Mahiaddin mengakui telah kehilangan sokongan dan terpaksa akur untuk meletak jawatan seperti dikehendaki perlembagaan.

Dia sebelum ini ditekan kuat supaya meletakkan jawatannya selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya pada 7 Julai lalu.

Usaha terakhir Mahiaddin mempertahan kerajaannya melalui tawaran kerjasama rentas parti ditolak mentah-mentah pihak yang tidak menyokongnya sehingga keputusan perletakan jawatan itu terpaksa dibuat.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini telah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Baginda turut menerima peletakan jawatan dan jawatan seluruh jemaah menteri dengan serta-merta berkuatkuasa hari ini.

Susulan itu, Seri Paduka juga berkenaan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baru dilantik.

"Susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka telah berkenan supaya Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md Yasin menjalankan tugas sebagai caretaker perdana menteri sehingga perdana menteri baru dilantik," kata kenyataan yang dikeluarkan istana sebentar tadi.

Sebagai rekod, pentadbiran Mahiaddin dikritik teruk sebelum ini setelah didakwa gagal menangani pendemik.

Malaysia berjaya mengawal pendemik itu pada peringkat awal, namun beberapa langkah politik termasuk mengadakan Pilihan raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan kerajaan negeri dikuasai Warisan ditumbangkan telah dianggap sebagai antara punca wabak itu kembali mengganas di negara ini.

Mahiaddin Md Yasin sah letak jawatan
Sejak hampir seminggu lalu, Malaysia mencatatkan kes baharu positif Covid-19 melebihi angka 20,000 kes sehari.

Pelaksanaan Darurat oleh kerajaan Mahiaddin Yassin turut dipersoal kerana dilihat tidak mampu menangani pendemik itu seperti dijanjikan.

Post a Comment

0 Comments