SEORANG penganalisis politik melihat pengumuman Mahiaddin Md Yasin semalam memberi isyarat yang mengakui beliau tidak lagi menikmati sokongan majoriti di Parlimen.
Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dipetik laporan portal FMT berkata hal berkenaan diakui Muhyiddin sewaktu membentangkan usul pentadbiran bipartisan dalam sidang media khasnya.
“Namun, kita juga tidak boleh menganggap ianya terdesak dari satu sisi pandang kerana hakikatnya tiada satu parti pun yang mempunyai bilangan selesa untuk menganggap mana-mana pihak mempunyai majoriti. Secara verbal dan secara congaknya mungkin ada yang mengakui sudah mempunyai majoriti.
“Bagaimanapun, secara rasminya tiada apa-apa jaminan kukuh terhadap bilangan yang dikatakan itu. Selagi mana tiada rang undang-undang lompat parti dilaksanakan, selagi itulah segalanya berkemungkinan,” katanya menurut portal itu.
Semalam, Mahiaddin dalam satu 'perutusan khas' menyatakan kesediaan untuk berunding dengan parti pembangkang untuk menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Dia dilapor turut menawarkan 'habuan' berupa saraan dan kemudahan kepada ketua pembangkang yang setara dengan menteri kanan sekiranya majoriti ahli Parlimen bersetuju dengan cadangan rentas parti dan meluluskan usul undi percaya terhadapnya pada sidang Parlimen akan datang.
Sebagai rekod, Mahiaddin yang merupakan Presiden parti Bersatu itu kini berdepan 'defisit' kepercayaan di kalangan Ahli Parlimen dan dia didakwa hanya memiliki 100 sokongan berbanding 120 tidak menyokongnya sebagai perdana menteri.
Biarpun menyatakan kesediaan untuk berdepan usul itu pada September nanti, Mahiaddin digesa supaya mempercepat undian terhadap dirinya.
Tekanan terhadap Mahiaddin semakin berat apabila Istana Negara baru-baru ini dilapor telah mengutus surat kepada Speaker dewan bagi mendapat kepastian jumlah sebenar sokongan dimiliki Mahiaddin itu.
![]() |
Mahiaddin dilihat cuba untuk kekalkan jawatan |
“Hari ini bilangannya lain esok lusa lain pula ceritanya. Jadi sukarlah untuk kita membuat apa apa perkiraan yang muktamad,” katanya sambil menlahirkan pandangan bahawa keputusan Muhyiddin enggan meletakkan jawatan sememangnya ada kaitan untuk dia kekal memerintah.