HARAPAN ajak Ahli Parlimen tolak Mahiaddin sokong Anwar

 


PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) mengajak semua Ahli Parlimen termasuk daripada Umno yang menolak kepimpinan Muhyiddin untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Gabungan parti politik yang dianggap sebagai terbesar dalam Parlimen setelah Mahiaddin dan Perikatan Nasional (PN) didakwa kehilangan sokongan itu turut mengulangi pendirian bahawa langkah itu dapat menyelesaikan kemelut politik yang berlaku ketika ini.

Dalam kenyataan itu juga mereka sepakat menolak apa-apa usaha untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum diadakan terutama ketika pandemik Covid-19 memuncak.

“Oleh itu, Majlis Presiden menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Mahiaddin (Muhyiddin) untuk bersama menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen,” kata HARAPAN dalam kenyataan.

Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023.

Pada PRU lalu, ia dimenangi HARAPAN, namun perletakan jawatan Mahathir Mohammad dan gerak politik dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' pada Mac 2020 menyaksikan mandat rakyat dirampas dan kerajaan Mahiaddin dibentuk.

Kedudukan Mahiaddin sebagai perdana menteri kini dipersoal sekali lagi setelah 15 Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini menyokong Mahiaddin bagi membentuk kerajaan itu telah menarik semula sokongan mereka.

Mahiaddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh didakwa hanya memiliki 100 sokongan berbanding 120 yang menolaknya sebagai perdana menteri.

Sementara itu menerusi kenyataan itu lagi, HARAPAN meminta semua pihak yang menentang Muhyiddin untuk bersama di meja rundingan bagi “membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayan secara adil”.

 K'jaan berjiwa rakyat mesti dibentuk selesai pendemik
“Amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah Kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.

“Ini supaya sebarang pengambil alihan Kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tata kelola dan urus tadbir yang baik dan institusi kehakiman yang bebas,” kata mereka.
 

Post a Comment

0 Comments