Peja dilantik penasihat PM, k'jaan Mahiaddin macam sarkas - Ahli Parlimen


TIDAKAN
Mahiaddin Md Yassin melantik bekas Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat “bertaraf menteri” kepadanya mengundang kritikan ramai.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago selain mempersoalkan kewajaran lantikan itu turut mendakwa apa yang dilakukan Mahiaddin itu memberi isyarat bahawa menteri bertanggungjawab dalam pembangunan masyarakat dan sosioekonomi tidak berkemampuan melaksanakan tugasnya.

Kenaikan pangkat Timbalan Presiden Bersatu itu jelasnya sekadar lantikan politik semata-mata dan seolah-olah memberi gambaran Perdana Menteri tidak mempercayai barisan Kabinetnya sendiri
 
“Saya fikir ia adalah gurauan. Saya tidak tahu apa lagi mahu dikatakan. Saya fikir Perdana Menteri mengetuai Kabinet pelawak, ia seperti sarkas. Cukup teruk. Tiada gunanya.

“Sekiranya, beliau (Muhyiddin) mahu menggantikan kekosongan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu saya boleh faham, kerana ia sudah kosong. Namun, pelantikan itu…mengapa? Saya tidak melihat ada keperluan langsung.

“Sekarang, beliau hanya mahu menguatkan kedudukannya dan ini menjurus kepada barisan Kabinet terbesar di dunia. Ini semua dilakukan untuk menjamin kedudukannya sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Dengan lantikannya sebagai 'menteri' Ahmad Faizal kini bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.

Ahli Parlimen Tambun itu sebelum ini adalah Menteri Besar Perak sebelum digulingkan dalam undi percaya di DUN Disember lalu. Beliau digantikan oleh Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, mempersoalkan berapa jumlah sebenar penasihat diperlukan Muhyiddin, merujuk kepada bilangan menteri sebelum ini yang bertanggungjawab sebagai mana portfolio Ahmad Faizal.

“Untuk masyarakat, kita sudah mempunyai menteri perpaduan. Untuk komunikasi. kita mempunyai menteri komunikasi dan multimedia. Untuk sosioekonomi, kita ada menteri hal ehwal ekonomi, pembangunan luar bandar, pembangunan usahawan dan koperasi.

“Tidakkah Muhyiddin mempunyai cukup nasihat,” katanya.

Sementara bekas Timbalan Menteri Keluarga Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh pula membidas lantikan Ahmad Faizal dengan mengatakan Kabinet Perikatan Nasional (PN) mempunyai jawatan Kabinet melambak, namun “kerja tidak berjalan”.

“Kalau kontrak doktor dan hospital boleh dinaik taraf dan diputuskan sebegini, nescaya Covid dah kosong kes juga,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Sebagai rekod, ini adalah pelantikan ketiga “bertaraf menteri” kepada penyokong Mahiaddin, sebelum ini  Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing dilantik Duta Khas ke China dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah yang kedua-duanya bertaraf menteri.
 
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, “memuji” penyelesaian Muhyiddin untuk keluar daripada kemelut politik, ekonomi, pandemik Covid-19 dan kejadian bunuh diri.

Lantikan Peja undang kritikan ramai
“Rakyat lapar dan rakyat hilang kerja dan hilang pendapatan.,dia bagi kerja dan tambah pendapatan bertaraf menteri pada Dtk (Datuk) Seri Peja (nama samaran Ahmad Faizal) timb (Timbalan) Presiden Parti Bersatu. tahniah PEJA,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, turut mempersoalkan kelayakan akademik Ahmad Faizal untuk menjadi penasihat kepada Perdana Menteri selepas mengambil kira beliau tidak menghabiskan pengajian di universiti.

Post a Comment

0 Comments