KETUA PEMUDA Parti Amanah Negara (AMANAH) Shazni Munir Mohd Ithnin dilapor meninggal dunia ketika menerima rawatan susulan positif Covid-19.
Perkara itu diumumkan oleh Amanah dalam media sosial rasminya sebentar tadi.
“Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat dan rakan perjuangan kami, Shazni Munir, Ketua Pemuda Amanah telah kembali kerahmatullah sebentar tadi.
“Mohon doa dan sokongan daripada semua agar keluarga beliau kuat lalui ujian ini,” kata Setiausaha Pemuda Amanah, Asim Abdullah Ainullotfi di Facebook parti itu.
Shazni yang juga merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) dirawat untuk Covid-19 dan disenaraikan sebagai pesakit Kategori 5 kurang seminggu lalu.
Pada 19 Julai lalu, Shazni, 34, mengumumkan dirinya positif Covid-19, selepas mengalami demam panas dan sakit seluruh badan.
Beliau kemudiannya dilaporkan dalam keadaan kritikal pada 24 Julai.
Isteri dan anaknya turut disahkan positif Covid-19 dan kemudian menjalani kuarantin kendiri.
Pemergian Shazni diiringi ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham oleh beberapa pemimpin pembangkang.
Shazni meninggalkan tiga orang anak dan seorang balu.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham, termasuk isteri dan anak-anak, dan juga buat keluarga besar Amanah,” tulis Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil di Facebook.
Bekas Ketua AMK, Najwan Halimi berkongsi gambarnya bersama arwah yang disertakan ucapan takziah.
“Damailah dikau di sana sahabat seperjuangan yang dikasihi,” tulisnya di Twitter.
Sementara itu, Ketua AMK yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dalam hantaran media sosialnya berkata, Allahyarhan akan sentiasa dikenan sebagai pemimpin muda yang tidak gentar dan berani dalam perjuangannya.
![]() |
Shazni akan dikenang sebagai seorang pejuang |
"Saya ikut berdukacita dan mendoakan keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan saat ini.
"Semoha rohnya diberi keampunan serta ditempatkan bersama kalangan mereka yang beriman," tulis Anwar di Facebook rasminya.