Mustahil Mahiaddin masih ada sokongan majoriti, kata gabungan Ahli Parlimen


AHLI PARLIMEN pembangkang menyifatkan adalah mustahil untuk Mahiaddin Md Yassin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Melalui satu kenyataan, Ahli Parlimen dari pelbagai parti itu menyatakan pendirian untuk tidak menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri.

"Adalah mustahil Mahiaddin masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah ahli parlimen kerajaan semalam.

"Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Mahiaddin dan seluruh jemaah
menteri mesti meletakkan jawatan," kata kenyataan bersama itu.

Selain Ahli Parlimen mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN), perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan bebas.

"Ahli-ahli parlimen HARAPAN bersama ahli-ahli parlimen Tuaran (Upko), Simpang Renggam (Bebas), Selangau dan Sri Aman (PSB) menegaskan bahawa kami tetap menolak kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin," kata mereka.

kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Wilfred Madius Tangau (Upko); Baru Bian (PSB) dan Masir Kujat (PSB).

Blok ini mempunyai 92 daripada 222 kerusi parlimen. Dua kerusi dikosongkan susulan kematian penyandangnya.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah yang mewakili 13 kerusi Parlimen mengeluarkan kenyataan secara berasingan.
 
Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan 11 Ahli Parlimen parti itu menarik semula sokongan terhadap Mahiaddin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

 Mahiaddin diyakini sudah hilang sokongan
Laporan lain kemudian menyatakan kumpulan itu disertai 3 lagi Ahli Parlimen termasuk Shamsul Annuar Nasarah (Lenggong) yang meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli semalam serta seorang lagi Ahli Parlimen dari Sabah.

Jika semua Ahli Parlimen sepakat menolak Mahiaddin,  mereka mempunyai 105 anggota parlimen.

Digabungkan dengan 14 anggota parlimen Umno yang dilapor tidak lagi menyokong Muhyiddin semua pihak di atas mempunyai 119 daripada 220 kerusi diisi dalam Dewan Rakyat.

Sebagai rekod, Mahiaddin dalam satu perutusan khas selepas menghadap Yang Di Pertuan Agong hari ini enggan mengakui telah kehilangan sokongan dalam Dewan.

Dia bersedia berdepan usul percaya di Parlimen pada sidang September ini.

Walau bagaimanapun sebahagian warganet bimbang ruang masa dimiliki Mahiaddin menjelang sidang itu bakal digunakan bagi 'memancing' Ahli Parlimen untuk menyokongnya.



Post a Comment

0 Comments