BEKAS Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman mempersoalkan sikap neutral Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam menjalankan tugasnya.
Persoalan itu timbul ketika Noor Hisham kini berdepan dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkannya bersikap berat sebelah. Ia terutama berhubung peranannya menasihati penagguhan sidang Dewan Rakyat baru -baru ini.
Abu Bakar yang memegang jawatan itu bermula 1991 hingga 2001 dipetik laporan FMT berkata, terdapat banyak persoalan timbul susulan penangguhan itu dan beliau juga tidak jelas mengenai rasional di sebalik keputusan berkenaan.
Beliau bertanyakan sama ada Noor Hisham mengikut standard yang sama terhadap semua perhimpunan tertutup atau menggunakan standard lebih tinggi di Parlimen.
Ahad lalu, Noor Hisham mencadangkan supaya sidang Parlimen yang sepatutnya disambung pada Isnin, ditangguhkan selepas beberapa kes Covid-19 dikesan dalam bangunan terbabit.
Sebelumnya timbul kekecohan di dalam Dewan yang menyaksikan sidang ditangguhkan setelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kenyataan media oleh Istana Negara yang menzahirkan rasa dukacita Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berhubung tindakan kerajaan mengumumkan secara tergesa-gesa pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.
Sementara itu tambah Abu Bakar menegaskan bahawa Noor Hisham harus memastikan semua keputusannya dibuat berdasarkan profesionalisme, bukannya atas pertimbangan politik.
Ia amat penting untuk mana-mana ketua pengarah yang menjaga kepentingan orang awam dan perkara itu perlu jelas supaya kepercayaan akan dapat dikekalkan.
“Sudah tentu, dengan berbuat demikian, bos politik mungkin tidak bersetuju dan menolak pandangannya yang sememangnya menjadi hak mereka. Bagaimanapun, ketua pengarah harus memberi nasihat profesional yang sudah menjadi tugasnya.” jelas Abu Bakar.
Sambil membayangkan Noor Hisham kini berada dalam keadaan sukar, beliau berkata bahawa kebanyakkan alasan diberikan Noor Hisham sewajarnya lebih kepada profesional dan berpandukan bukti sains.
Sementara itu dipetik laporan sama, Ketua Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib bersetuju bahawa persepsi awam terhadap peranan ketua pengarah amat penting.
![]() |
Persepsi awam sangat penting dan perlu dijaga |
“Mereka dianggap gagal kerana orang ramai tidak melihatnya sebagai orang yang bercakap benar, sanggup berkompromi dan mengubah nasihat profesional kerana perlu terus kekal memegang jawatan,” katanya dipetik.
0 Comments