MAJLIS PRESIDEN Pakatan Harapan (HARAPAN) menyelar tindakan pihak berkuasa menghalang Ahli Parlimen pembangkang memasuki Parlimen pada Isnin.
Melalui satu kenyataan, Majlis tersebut menegaskan bahawa tindakan menghalang Ahli Parlimen itu adalah menyalahi undang-undang.
Seccara jelas menurut kenyataan itu, tindakan tersebut satu bentuk pelanggaran perintah yang dikeluarkan Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara, berdasarkan usul Menteri Dalam Negeri bertarikh 13 Julai 2020, sewaktu permulaan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Rakyat.
“Penting dijelaskan bahawa Parlimen sekarang masih berada dalam Penggal Ketiga oleh kerana tiada pewartaan proklamasi oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, memprorog penggal tersebut berdasarkan Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan mengugut dan menghalang Ahli Parlimen daripada menjalankan kuasa-kuasa seorang Ahli Parlimen yang sah di sisi undang-undang melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum tujuh tahun penjara atau denda.
"Sekali lagi kerajaan Perikatan Nasional telah menunjukkan inilah kerajaan yang telah mengingkari titah perintah Seri Paduka Baginda, tidak mengendahkan parlimen, dan melanggari Perlembagaan Persekutuan," kata mereka dalam kenyataan tersebut sambil menyatakan rasa kesal dengan tindakan mengarah serta memperalat pihak polis bagi menghalang ahli-ahli parlimen dari memasuki Parlimen.
Pada Isnin seramai 107 ahli parlimen pembangkang dihalang memasuki parlimen susulan penangguhan persidangan khas Dewan Rakyat.
Kerajaan memberikan alasan penangguhan itu disebabkan penularan kes Covid-19 apabila parlimen bersidang minggu lalu.
Pihak polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi menghala ke parlimen termasuk meletakkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menghalang kemasukan ahli-ahli parlimen pembangkang.
Cubaan Ahli Parlimen terbabit memasuki Parlimen difahamkan bertujuan untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi membahas dan memutuskan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.
Sementara itu dalam kenyataan tersebut, Majlis Presiden turut menyatakan rasa kesal terhadap sikap Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang menurut mereka sebagai gagal melindungi hak Ahli Parlimen dengan membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat oleh Ketua Polis Negara berlaku.
![]() |
Majlis Presiden selar tindakan halang masuk Parlimen |
Melalui kenyataan sama juga Majlis Presiden menggesa Ahli-Ahli Parlimen membuat laporan polis bagi mengenal pasti mereka yang telah mengeluarkan arahan tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan.
0 Comments