DATUK SERI ANWAR IBRAHIM melahirkan rasa terkejut dengan tawaran diberikan Mahiaddin Md Yassin kepada beliau dan Ahli Parlimen pembangkang melalui satu 'perutusan khas' olehnya Jumaat lalu.
Dalam satu siaran di laman Facebooknya malam tadi, Anwar berkata tawaran berbentuk saraan dan kemudahan setaraf menteri kanan kepada Ketua Pembangkang sekiranya Anwar bersama Ahli Parlimen pembangkang meluluskan usul undi percaya terhadap Mahiaddin adalah satu bentuk penghinaan.
"Saya tidak langsung berfikir ini wajar dan munasabah. Takkanlah ini boleh dibuai. Bagi saya satu penghinaan, orang nak dapat RM50, RM100 tambahan sebulan untuk cari nafkah anak-anak pun susah, kamu pelawa ketua pembangkang RM40,000, RM50,000 sebulan tambahan dengan segala status dan sebagainya.
"Sebab itu saya tegas menolak, saya tidak mahu menilai motif dan niat masing-masing, tetapi apa yang nyata dan dizahirkan itu adalah percubaan licik tanpa memikirkan masalah rakyat.
"Mahiaddin telah salah pilih langkah," katanya.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas tawaran kerjasama bipartisan dibuat Muhyiddin semalam kepada Ahli Parlimen pembangkang serta faedah setaraf menteri kanan yang diberi kepada ketua pembangkang.
Sebelum desas-desus Mahiaddin akan meletak jawatan esok, dia mengemukakan tawaran itu yang dianggap sesetengah pihak sebagai 'rasuah' secara langsung melalui media arus perdana.
Tawaran itu dilihat sebagai talian hayat terakhir untuk Mahiaddin mengekalkan kuasanya, susulan dakwaan telah hilang majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya.
Mahiaddin dalam satu perutusan khas lain sebelumnya mendakwa masih memiliki sokongan dan bersedia untuk diuji keabsahannya di Dewan Rakyat, kemudian muncul beberapa Ahli Parlimen dari KEADILAN dan DAP yang mendakwa ditawarkan jawatan dalam kerajaan serta habuan berupa wang sekiranya bersetuju untuk menyokong Mahiaddin.
Sebagai rekod, semua pihak dari parti pembangkang secara tegas telah menolak tawaran dikemukakan Mahiaddin itu dan menggesa supaya dia melepaskan jawatannya.
Sementara itu Anwar menegaskan bahawa apabila Mahiaddin telah hilang majoriti, tidak munasabah untuk dia mengemukakan apa-apa tawaran.
"Perdana Menteri mengaku sudah hilang majoriti dan dalam keadaan begini tidak munasabah untuk kita memberi pertimbangan apa-apa usul yang beliau kemukakan kerana usul itu harus dikemukakan Perdana Menteri yang baharu.
"Ya... Ahli Parlimen penting dapat peruntukan, tetapi nyawa rakyat pun penting. Kehidupan orang tiada pekerjaan, yang susah terpaksa mengemis minta pertolongan, itu lebih penting dan wajar kita pertimbangkan bukan soal survival Ahli Parlimen atau ketua pembangkang," katanya.
![]() |
Tawaran Mahiaddin satu bentuk penghinaan |
Namun disebaliknya kini PN dianggap sebuah kerajaan yang gagal susulan ketidakmampuan teruk Putrajaya menangani pendemik Covid-19 susulan tiada rancangan jelas cara menangani pendemik itu dan SOP yang berterabur.
0 Comments