AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa kenyataan Mahiaddin bahawa dia mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan dianggap sebagai satu pembohongan.
Puad, ketika merujuk perletakan jawatan Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad dari kabinet Mahiaddin Md Yassin dan penafian dua lagi Ahli Parlimen Umno bahawa mereka menyokong Presiden Bersatu itu menurutnya telah menyerlahkan lagi bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu sememangnya telah tiada sokongan.
Perletakan jawatan Noraini dan penafian Noh Omar (Tanjung Karang) dan Abdul Azeez Rahim (Baling) menurut Puad telah menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya disokong oleh 100 dari 220 ahli Parlimen sahaja.
“Tahniah DS Dr. Noraini Ahmad kerana meletak jawatan Menteri dan tarik sokongan daripada PM. Ia membunuh “game plan” Ismail Sabri pagi tadi.
“Sekarang 115-15=100. Kerajaan PN majoriti tipu. Segerakan undian di Parlimen,” kata beliau menerusi Facebooknya semalam.
Ismail Sabri mengetuai satu sidang media bersama beberapa Ahli Parlimen Umno semalam bagi menyatakan sokongan kepada Mahiaddin yang majoritinya kini diragui. Ia susulan tidakan beberapa pemimpin Umno secara jelas menyatakan pendirian tidak menyokong Mahiaddin sebagai perdana menteri.
Noh Omar dan Abdul Azeez kemudian tampil menafikan mereka menyokong kerajaan PN.
Azeez dalam kenyataannya berkata, beliau yang bertanding atas tiket Umno dan BN tidak akan mungkin saya mengkhianati arahan MKT Umno.
“Saya juga berharap rakyat Baling tidak terkeliru dengan segala dakwaan dan dakyah yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab berkaitan kehadiran saya di perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen BN itu,” jelas beliau.
Dalam sidang medianya, Ismail yang baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan PN memaklumkan 31 MP BN menyokong Mahiaddin dengan memasukkan nama Noh dan Azeez Rahim dalam senarai yang menyokong itu.
Dengan penjelasan kedua-dua mereka, hanya 29 MP BN yang menyokong Mahiaddin.
Dewan Rakyat mempunyai 220 anggota sahaja sekarang selepas MP Batu Sapi dan Grik meninggal dunia dan pilihan raya untuk memilih MP yang baharu belum diadakan lagi sehingga sekarang ekoran perintah darurat.
![]() |
Pengumuman Ismail jadi beban untuk PN |
Melihat pengumuman Ismail tidak berjaya mengukuhkan kedudukan Mahiaddin yang didakwa telah hilang sokongan, bekas Ahli Parlimen Johor Baharu itu menegaskan bahawa usul undi percaya harus segera dibentangkan di Dewan Rakyat melalui sidang khas untuk menamatkan ketidaktentuan mengenai sokongan terhadap kerajaan.
0 Comments