Kilang pencetus kluster di S'gor - Pengarah Jabatan Kesihatan negeri

 


SEKTOR perkilangan adalah penyumbang terbesar wujudnya kluster Covid-19 di Selangor, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman

Dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam beliau turut menjelaskan tiada satu pun kluster di Selangor berpunca daripada sambutan perayaan.

Namun, tegasnya peningkatan kes hasil saringan terkait kluster adalah disebabkan oleh saringan berkaitan kluster-kluster tempat kerja.

“Tiada kluster yang berkaitan perayaan Hari Raya Aidiladha yang dilaporkan di daerah-daerah di Selangor.

“Tren peningkatan kes di Selangor sebenarnya telah pun dilihat sejak sebelum bermulanya perayaan Hari Raya Aidiladha .

“Dan tren peningkatan ini dilihat selaras dengan meningkatnya jumlah saringan yang dijalankan di negeri Selangor,” katanya dipetik.

Negeri Selangor mencatat kes positif tertinggi berbanding negeri-negeri lain. kerajaan negeri terus berusaha bagi memutuskan rantaian pandemik dengan melakukan saringan secara terbuka di kesemua DUN dan melaksana program vaksinasi yang dikendali kerajaan negeri.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan PKP 3.0 kes positif negeri Selangor tidak menunjukkan pengurangan kerana kilang-kilang masih dibenarkan beroperasi.

Warganet berulang kali membuat desakan supaya kerajaan melalui Perdagangan Antarabangsa dan Industri menutup sektor perkilangan bagi meredakan kadar jangkitan di selangor.

Bagaimanapun, menteri berkaitan Mohamed Azmin Ali enggan menerima dakwaan bahawa kilang adalah punca tersebarnya kluster Covid-19 di negeri itu.

Tiada kluster Aidiladha dilaporkan
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didapati telah memadam kenyataan  Dr Sha'ari yang mengatakan sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar kepada kluster di negeri Selangor.

Susulan tindakan itu, ramai  warga Twitter mempersoalkan mengapa kenyataan itu yang sebelumnya di kongsikan KKM telah ditarik balik.