K'jaan S'gor tubuh Pusat Anis


KERAJAAN Negeri Selangor pimpinan Pakatan harapan (HARAPAN) meneruskan inisiatif membantu rakyat dengan mengumumkan penubuhan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat ANIS).

Pengumuman itu dibuat dalam Majlis Penandatanganan Terma Rujukan (MoU) antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

Dipetik laporan Malaysiadateline, Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud serta Dr. Noraisah binti Spahat, Setiausaha Bahagian, Bahagian GENIUS (KPM).

Melalui MoU ini, Pusat ANIS yang dikendalikan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menjalinkan kerjasama dengan Pusat Genius Kurnia KPM bagi mendapatkan khidmat kepakaran dan runding cara.

Antaranya termasuklah menjadi pusat rujukan bagi Pusat ANIS, memantau modul dan kurikulum yang akan digunakan, memberi nasihat dan latihan bagi kakitangan ANIS serta memberikan khidmat kaunseling bagi ibu bapa yang memerlukan.

Sementara itu, Dr Siti Mariah dalam ucapan beliau  menyatakan, penubuhan Pusat ANIS selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan anak istimewa di Selangor dengan menyediakan perkhidmatan yang mampu diakses oleh golongan tersebut.

Katanya, sejak 2018 Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta setahun bagi merancang dan melaksanakan program-program pemberdayaan anak istimewa termasuklah bagi menubuhkan pusat ini pada tahun ini.

Selangor terus peduli kebajikan rakyat
Pusat ANIS menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan saringan, pengesanan awal dan intervensi bagi kanak-kanak istimewa seperti autisme, sindrom down, Attention Deficit Dyperactivity Disorder (ADHD), Global Development Delay (GDD) dan yang mempunyai masalah pembelajaran, berumur dua (2) hingga enam (6) tahun.

Pusat ANIS turut memberikan latihan dan kursus asas secara berterusan kepada ibu bapa, pendidik dan komuniti serta meningkatkan kerjasama tenaga pakar dan sukarelawan dari bidang psikologi dalam membangunkan proses intervensi yang komprehensif dan inklusif.

Post a Comment

0 Comments