SEBANYAK dua puluh empat kumpulan masyarakat sivil membuat desakan kepada Ismail Sabri Yaakob supaya melayan semua Ahli Parlimen secara adil.
Kumpulan itu dalam kenyataan berkata, langkah itu termasuk dengan memberikan peruntukan sama rata untuk wakil rakyat itu tanpa mengiri parti diwakili merela.
“Kami berpendapat bahawa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang harus menerima peruntukan yang sama, dan pengundi tidak harus dihukum kerana menyokong parti politik yang berlainan.
“Perdana Menteri baharu harus mengagih peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya mereka menggunakannya dengan baik dalam usaha membantu memerangi pandemik Covid-19 dan membantu rakyat yang menganggur atau pendapatannya terjejas,” kata sebahagian kenyataan oleh kumpulan itu.
Kumpulan itu berkata, pentadbiran kerajaan harus merangkumi prinsip demokrasi, atau sebaliknya bakal dihukum oleh pengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Selain menggesa pembiayaan secara saksama, 24 kumpulan itu turut menggesa pentadbiran yang akan datang membatalkan semua Ordinan Darurat diwujudkan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.
“Hanya setelah habis tempoh enam bulan selepas darurat tidak berkuat kuasa, ordinan itu tidak lagi sah dan terhenti secara automatik.
“Kami menyeru Perdana Menteri baharu mengemukakan usul untuk membahaskan dan membatalkan Ordinan-ordinan Darurat pada sidang Parlimen September depan,” kata mereka.
Sebagai rekod, pentadbiran sebelum ini dikritik kerana dilihat 'keberatan untuk membentang dan membahaskan ordinan-ordinan Darurat', seperti dititah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Kumpulan itu turut mendesak kerajaan yang bakal dilantik Ismail supaya menguatkuasakan Undi18, pindaan pendaftaran pengundi automatik selain memberi maklumat secara telus mengenai perang terhadap Covid-19.
![]() |
Agenda pembaharuan institusi perlu dijayakan |
“Usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi (patut menjadi) tumpuan keutamaan Perdana Menteri ke-9 yang baharu.
“Agenda seperti pembaharuan institusi harus dilaksanakan selepas pandemik berakhir,” kata kumpulan itu lagi.
0 Comments