PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua ahli politik dari semua parti supaya memulakan babak politik baharu 'lebih waras' di negara ini.
Melalui satu rakaman video, Anwar yang juga adalah Ketua Pembangkang di Parlimen mengajak semua pemimpin menghentikan segala dendam kesumat yang ada sebelum ini yang menurutnya telah menjadi punca kepada masalah politik dalam negara hari ini.
“Kamu perintah dalam masa yang sama ada orang yang tekan kamu. Kamu penjarakan aku, aku penjarakan kamu.
“Itu dendam kesumat, inilah patut dihentikan.
“Kita harus mula babak baru politik lebih waras dan tidak menggalakan dasar atau tindakan berdasarkan dendam kesumat,” katanya.
Ahli parlimen Port Dickson itu mengulas soal keabsahan terhadap Mahiaddin Md Yassin yang dipertikaikan sejak awal yang hari ini membawa kepada situasi politik tidak stabil sehingga memungkinkan satu kerajaan baharu akan dibentuk.
Ia susulan Mahiaddin yang pentadbirannya dikritik teruk rakyat atas kegagalan menangani pendemik Covid-19 dilapor akan meletak jawatan esok sebaik dia dijadualkan menghadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Anwar ketika mengulas harapannya mengenai masa depan politik Malaysia menegaskan bahawa politik yang diheret kepentingan peribadi sehingga mahu mengumpul kekayaan anak menantu dalam keadaan ekonomi merundum mesti dihentikan.
Politik yang baru dibina ini adalah politik bermaruah kembali kepada asas keluhuran perlembagaan.
![]() |
Anwar ajak amal politik bermaruah |
“Semangat silaturahim, memaafkan dan memulakan babak baru dengan menginsafkan kelemahan kita masing-masing, cuba memperbaiki supaya mengangkat martabat negara sebahagiannya dalam menangani Covid 19 seterusnya mengangkat kedudukan ekonomi rakyat,” katanya mengakhiri ucapan.
0 Comments