Apa motif Mahiaddin umum kelonggaran ketika kes memuncak ?


TINDAKAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini yang mengumumkan kelonggaran bagi beberapa jenis perniagaan beroperasi dipersoalkan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimi melihat pengumuman Mahiaddin yang diwar-war akan meletak jawatannya esok seolah-olah satu sabotaj buat kerajaan baharu yang mungkin dibentuk selepas dia tidak lagi berkuasa.

Kelonggaran yang diumumkan itu ketika negara berada dalam keadaan sangat kritikal menangani jangkitan Covid-19 dibimbangi akan menjadikan keadaan menjadi lebih serius.

“Pada pandangan saya, pengumuman kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi dalam fasa satu Program Pemulihan Negara (PPN) adalah berunsur sabotaj secara jelas.

“Tindakan beliau (Muhyiddin) juga mungkin disengajakan bagi menggagalkan pelan pemulihan oleh kerajaan berikutnya. Ini kerana jika sektor ekonomi yang baru sahaja dibenarkan beroperasi diarahkan untuk ditutup semula, sudah pasti para peniaga akan marah kepada kerajaan berikutnya.

“Selain itu, jika sektor-sektor perniagaan ini terus dibenarkan beroperasi kita tidak menolak kemungkinan kenaikan mendadak kes harian Covid-19 dan sudah tentu yang dipersalahkan adalah kerajaan berikutnya,” katanya dalam kenyataan.

Mahiaddin mengumumkan 11 aktiviti ekonomi yang sedia dibuka bermula 16 Ogos 2021 ini buat negeri yang berada dalam Fasa 1

Ia dibuat dengan alasan peningkatan kadar vaksinasi antara rakyat sekaligus dapat mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19

Sebagai rekod, sejak 11 Ogos lalu, negara mencatatkan kes positif melebihi 20,000 kes. Setakat semalam Malaysia mencatatkan 1,384,353 kes dengan 12,228 kematian.

Hampir 245,000 pesakit aktif dilaporkan dengan 1,096 didalam unit rawatan rapi dengan 540 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu tambah Razeef,  walaupun kelonggaran itu hanya bagi mereka yang lengkap vaksinasi, tidak bermakna jangkitan Covid-19 tidak akan berlaku.

“Ini kerana umum tahu vaksin hanya meningkatkan tahap imunisasi tubuh tetapi tidak bermakna kita akan kebal dari terkena wabak Covid-19 dan jika ini berlaku, orang yang dijangkiti akan menjadi pembawa dan tidak mustahil akan turut menjangkiti mereka yang belum menerima suntikan vaksin, terutama kanak-kanak.

“Maka pada hemat saya, tindakan Muhyiddin ini seolah cubaan sabotaj kepada kerajaan berikutnya yang boleh melumpuhkan lagi keselamatan, kesihatan dan ekonomi negara,” katanya.

AMK persoal niat sebenar Mahiaddin
Beliau berkata, pengumuman yang dibuat Muhyiddin itu tidak mengejutkan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak pernah konsisten dalam menguatkuasakan suatu pelan ataupun prosedur operasi standard (SOP).

“Dengan pelonggaran dalam keadaan negara yang berdepan dengan kes di atas paras 20,000 kes sehari dan dengan kematian di atas paras 200 kes sehari, Muhyiddin hanya menjadikan keadaan semakin teruk,” katanya.

Post a Comment

0 Comments