UNDI di Dewan Rakyat bagi menguji keabsahan Mahiaddin Md Yasin sebagai perdana menteri perlu dijalankan segera, kata pengamal undang-undang Bastion Pius Vendargon.
Vendargon memetik Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan berdasarkan undang-undang, undi harus dibuat sekiranya timbul apa-apa keraguan terhadap sokongan majoriti perdana menteri di Dewan Rakyat.
Dipetik laporan FMT, beliau berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu boleh “memuaskan hati negara dan seluruh dunia mengenai keabsahannya” hanya jika undi itu membuktikan dia mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.
“Apabila timbul keraguan, bagaimana seorang perdana menteri dan Kabinet masih boleh lagi membelanjakan wang rakyat dan membuat keputusan terhadap dasar awam?,” katanya.
Vendargon turut berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh memberitahu perdana menteri untuk memanggil sidang Parlimen segera dan tidak perlu menunggu sehingga Sept seperti diumumkan Muhyiddin.
Peguam Rafique Rashid pula dipetik laporan sama berkata Yang di-Pertuan Agong yang diiktiraf perlembagaan sebagai Ketua Parlimen, boleh memanggil sidang dengan segera mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3).
![]() |
Undang-undang mengharuskan undi dijalankan segera |
Katanya, keabsahan perdana menteri harus ditentukan segera memandangkan negara masih berada dalam krisis kesihatan dan ekonomi.