TIGA pemimpin DAP tampil membuat dakwaan bahawa mereka ditawarkan ganjaran bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikepalai Mahiaddin Yassin.
Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dari DAP mendakwa mereka ditawarkan ganjaran dan kedudukan sebagai menteri oleh pihak tidak dikenali melalui mesej WhatsApp.
Selain jawatan menteri, Khoo turut mendakwa ditawarkan “Durian RM30”, walaupun tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan “Durian RM30”, namun penghantar mesej itu menjanjikan “durian” berkenaan akan dibayar segera secara tunai.
Khoo tidak membalas mesej berkenaan dan menegaskan bahawa “Kota Melaka bukan untuk dijual.”
Turut mendakwa mendapat ganjaran sama adalah Ahli Parlimen Bandar, Kuching Kelvin Yii.
Sementara itu, Kula yang merupakan Naib Pengerusi DAP, membuat laporan polis selepas pegawainya menerima panggilan telefon dan mesej WhatsApp, menawarkan Ahli Parlimen itu wang, jawatan menteri dan ganjaran tambahan untuk “memperolehi sokongan kepada kerajaan PN.”
“Setiausaha saya Jeremy Chumash telah membuat laporan polis mengenai perkara ini. Tetapi lebih penting, saya ingin menasihati kerajaan PN dan Perdana Menteri bahawa lebih baik mengakui kegagalan anda yang menyebabkan negara dalam kesengsaraan daripada menghabiskan masa membeli Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Mahiaddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh didakwa telah hilang majoriti dalam Dewan Rakyat, bagaimanapun menegaskan dia masih memiliki majoriti itu dan bersedia untuk satu usul undi percaya dibuat dalam Dewan.
Walau bagaimanapun Mahiaddin berkata, usul itu akan dibawakan pada September ini. Kenyataan Mahiaddin kemudian dikritik kerana dilihat cuba 'membeli' masa bagi menarik sokongan terhadapnya.
Semalam, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling, Abd Azeez Abdul Rahim menafikan dakwaan Ismail Sabri bahawa mereka menyokong Mahiaddin.
Sementara, Ahli Parlimen , Nizar Zakaria yang namanya tersenarai sebagai menyokong Mahiaddin pula tampil menyatakan yang dia mengikut keputusan yang telah dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno iaitu menarik balik sokongan terhadap perdana menteri itu.
0 Comments