Ismail jumpa pembangkang, pendirian 'no Anwar, no DAP' diketepikan

PEMIMPIN utama Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini sudi menerima pelawaan perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pertemuan.

Pertemuan itu yang diketuai Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 2 petang tadi.

Ia sekaligus dilihat bahawa Naib Presiden Umno itu mengetepikan pendirian partinya sebelum ini yang menekankan pendirian ‘no Anwar no DAP’.

“Ismail mewakili Umno, saya cakap kepada dia sudah boleh bincang dengan Anwar dan DAP, sebelum ini ‘no Anwar no DAP’.

“Nampaknya sudah berubah, jadi Ismail kata demi titah Agong untuk kerjasama tangani COVID-19,” kata Anwar kepada media sebaik sahaja keluar dari pintu pagar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya petang ini.

Presiden HARAPAN itu melihat pertemuan itu sebagai permulaan yang baik untuk menangani masalah pendemik yang melanda negara dengan lebih berkesan.

Sementara itu Ismail berkata beliau dan tiga pemimpin utama parti pembangkang dalam pertemuan itu bersetuju mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Keempat-empat mereka turut bersetuju peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.

“Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat,” katanya dalam kenyataan.


Sementara itu Anwar berkata, dalam pertemuan sejam itu  Pakatan Harapan turut menekankan agar program-program untuk rakyat terutama golongan miskin yang kehilangan pekerjaan perlu diberi keutamaan termasuk isu kesan parah akibat Covid-19 kepada rakyat negara ini.

Malah Mohamad Sabu jelasnya ada meminta agar perdana menteri memperkenalkan kaedah dan pendekatan yang baru bagi mengatasi masalah pandemik dan tidak perlu lagi menggunakan kaedah yang lama.

Begitu juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang turut membangkitkan permasalahan ekonomi yang terpaksa dihadapi rakyat negara ini ketika pendemik, di mana isu-isu ini perlu diberi keutamaan.

Pelbagai isu diutarakan kepada Ismail
Anwar turut ditanyakan media adakah pertemuan ini ada kaitan dengan tawaran jawatan dalam kabinet, Anwar menegaskan perkara ini tidak berbangkit.

“Isu ini (jawatan kabinet) tidak berbangkit. Kita tidak datang untuk minta jawatan, isu kita adalah ekonomi rakyat dan kebajikan mereka,” tegas Presiden KEADILAN itu.