Bukan masa bangkit isu siapa patut jadi Pengerusi HARAPAN



ISU siapa seharusnya menjawat kedudukan  Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan ketua pembangkang tidak wajar dibangkitkan ketika ini, kata Pemuda AMANAH Pulau Pinang.


Dipetik laporan Malaysiadateline, ketuanya Muhamad Khairul Mohd Ali menegaskan bahawa pada ketika ini Pemuda AMANAH Pulau Pinang mengambil pendirian dengan menyerahkan urusan itu kepada Majlis Presiden HARAPAN.
 
“Adalah tidak wajar sebarang kenyataan berkenaan pertikaian ini dikeluarkan oleh sesama ahli komponen dalam HARAPAN.

“Pemuda AMANAH Pulau Pinang mengajak semu ahli parti komponen dalam PH supaya memberi lebih fokus terhadap pilihan raya umum ke-15 yang tidak begitu jauh dalam jangkamasa singkat hanya 18 bulan sahaja.

“Sehubungan itu semua tenaga dan semangat harus disatukan kearah memantapkan lagi struktur HARAPAN untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” ujar Muhammad Khairul.

Terdahulu, AMANAH Bukit Bintang membuat desakan kepimpinan tertinggi HARAPAN mewujudkan semula Pakatan Harapan (HARAPAN) Plus dan melantik Pengerusi yang baharu.

Ketuanya, Ahmad Asri Talib dipetik media berkata, ketua pembangkang baharu bagi mengantikan kepimpinan sedia ada perlu dilantik.

Ahmad Asri menjadikan kegagalan Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik perdana menteri.

Sebagai rekod, Anwar walaupun gagal mendapat sokongan Ahli Parlimen dari blok parti yang sebelum ini bersama Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan semua Ahli Parlimen dari blok pembangkang.

Isu siapa Pengerusi tak sepatutnya timbul
Sementara itu dalam kenyataan berasingan petang tadi, AMANAH Permatang Pauh menyatakan sokongan penuh mereka terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi gaungan itu dan ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

AMANAH kawasan itu juga menyokong penuh seruan Majlis Presiden HARAPAN yang menjemput semua pembangkang bekerjasama di bawah satu khemah besar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria berkata, parti itu bersama komponen HARAPAN negeri akan mempertahankan kemenangan Parlimen Permatang Pauh dan tiga DUN di bawahnya dalam pilihanraya akan datang.