AHLI PARLIMEN Pengerang dari Umno Azalina Othman Said meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Dalam satu kenyataan, Azalina berkata keputusannya mengundurkan diri bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.
Tambahnya, pengunduran itu juga bagi mengelak konflik peranan dan tanggungjawabnya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen gabungan parti pemerintah.
"Dengan pelantikan perdana menteri baru dan tuntutan orang ramai yang kuat dan jelas untuk kerjasama pelbagai parti, saya mengundurkan diri hari ini untuk mengosongkan kerusi saya," katanya.
Bekas Ketua Puteri Umno itu turut menegaskan keperluan untuk Dewan Rakyat berfungsi sebagai “forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai polisi dan urus tadbir negara.
“Saya akan menyokong sebarang pembaharuan yang mungkin ingin dilakukan oleh kerajaan dan pembangkang dalam kebijaksanaan kolektif mereka,” katanya lagi.
Azalina berkata, perkembangan politik dalam tempoh 17 bulan lalu membolehkannya meneliti kecacatan institusi demokrasi berparlimen Malaysia dan kekangan diri dalam menjalankan tugas sebagai timbalan speaker tanpa berkompromi integriti profesionalnya.
Beliau menegaskan bahawa nilai-nilai peribadinya berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, demokrasi Parlimen serta semak dan imbang adalah konsisten sejak pengisytiharan Darurat pada Jan lalu.
![]() |
Mahu fungsi Parlimen ditetapkan semula |
"Tanggungjawab saya mewajibkan saya menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perintah Tetap Dewan Rendah dalam setiap keadaan,” tambahnya sambil berkata bahawa kurangnya perundingan untuk mencapai keputusan bersama memberi kesan kepadanya selaku sebagai timbalan speaker.
Sebagai rekod, Azalina adalah antara 15 ahli parlimen Umno yang menarik balik sokongan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berusia 17 bulan.