KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai cara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menjawab isu pembatalan ordinan darurat di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, tindakan Setiausaha Agong PAS itu yang kelihatan cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan ahli parlimen pembangkang dengan berselindung di sebalik Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun meyakinkan beliau bahawa langkah tersebut belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Kalau tengok cara menteri jawab, saya pasti 100 peratus belum ada perkenan Agong (untuk pembatalan ordinan darurat), dan kalau itu tidak (berlaku), apa maknanya?.
"Perkara spesifik begini tidak boleh jawab, kalau Yang di-Pertuan Agong perkenan saya percaya semalam lagi dia (Takiyuddin) jawab," kata Anwar.
Terdahulu sidang Dewan Rakyat sesi pagi ini menjadi panas dengan isu sama ada pembatalan ordinan darurat yang diumum Takiyuddin semalam sudah dimaklumkan dan diperkenan Agong atau tidak.
![]() |
Anwar yakin pembatalan belum dapat perkenan Agong |
Pada Isnin Takiyuddin mengejutkan ramai orang apabila memaklumkan kepada parlimen, enam ordinan darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai lalu.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen berdiri mendesak agar Takiyuddin memberikan penjelasan sama ada pembatalan berkenaan sudah diperkenankan pihak istana atau tidak.
Antara yang bangun lebih awal ialah Gobind Singh Deo (HARAPAN-Puchong) RSN Rayer (HARAPAN-Jelutong), Fahmi Fadzil (HARAPAN-Lembah Pantai) dan Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna).
Takiyuddin kemudian menegaskan sebarang penerangan berhubung perkara itu hanya akan dibuat pada Isnin depan seperti yang ditetapkan Azhar.
Anwar sementara itu mengkritik Azhar dengan berkata bahawa ruang mesti diberikan kepada Takiyuddin untuk menjawab soalan dikemukakan supaya tidak mengelirukan Dewan.
"Sebab itu yang kita minta daripada speaker hanya satu, yang kecil (saja), kerana menteri kata dia boleh jawab tapi speaker tak beri (izin) jawab. Speaker kata Isnin.
"Jadi saya nak speaker putuskan agar benarkan menteri menjawab hari ini.
"Kalau itu pun speaker tak sanggup, saya dukacitalah. Ada masalah besarlah kita dengan speaker, kalau begitu," katanya.
0 Comments