BEKAS Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad meramalkan angka Covid-19 akan terus meningkat meskipun Pelan Pemulihan Negara (PPN) sedang berjalan.
Bercakap semasa sesi Dewan rakyat semalam, Dzulkefly yang juga adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor mengatakan bahawa dia percaya jumlah sebenar adalah sekitar 10,000 sehari berbanding sekitar 4,00 kes di Selangor.
Menurut beliau, jumlah sebenar adalah lebih rendah kerana bilangan ujian dilakukan adalah lebih rendah berbanding sepatutnya.
"Kementerian Kesihatan terlalu lambat, mereka hanya memulakan ujian massa hanya ketika PPN diperkenalkan.
"Terlalu sedikit, terlalu lambat. Itulah sebabnya jumlah kes harian tidak akan turun buat masa ini dan saya meramalkan akan bertambah buruk.
"Saya meramalkan bahawa Selangor berada pada kadar 10,000 kes ketika jumlah yang diumumkan hanya sekitar 3,000 hingga 4,000.
"Orang ramai marah kepada saya tetapi itu adalah data dan sains,” kata Dzulkefly.
Awal Julai lalu, Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (HARAPAN) diketuai Dzulkefly menegaskan pentingnya untuk Kementerian Kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran termasuk ujian saringan terhadap mereka yang tidak bergejala di seluruh negara terutamanya di lokaliti yang dikenal pasti kadar keberjangkitan dan mempunyai kes positif Covid-19 yang tinggi.
Ia berdasarkan saranan rasmi World Health Organisation (WHO) yang masih menekankan kepentingan untuk saringan secara menyeluruh dan ujian diagnostik yang cepat dan tepat digiatkan bagi mencegah dan megawal penyebaran Covid-19.
Sementara itu, Dzulkefly dalam sesi itu juga menekankan pentingnya sistem pengesanan kontak yang cekap dan tepat.
Kaedah pengesanan kontak semasa yang digunakan di Malaysia lemah berbanding dengan kaedah pengesanan kontak automatik yang diamalkan oleh negara lain, katanya.
"Jangan salah faham bahawa kes sporadik bermaksud ia tidak berkaitan dengan mana-mana kluster. Sama ada tidak berkait dengan kluster atau tidak, ia (kontak rapat) masih dapat dikenal pasti.
"Tetapi mengapa kita tidak dapat mengenal pasti ini? Kerana kita tidak mengikuti rangkaian penularan.
"Itulah peranan pengesanan kontak. Sekiranya (sistem pengesanan kontak) bergantung pada MySejahtera, yang merupakan separa manual, kalaupun bukan sepenuhnya manual, itu hanya aplikasi imbasan QR kerana kita tidak dapat menjadikannya automatik sepenuhnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dzulkefly, yang merupakan ketua Pasukan Petugas Selangor untuk Covid-19, juga membidas kerajaan persekutuan kerana tidak berkongsi data terperinci mengenai penularan Covid-19, yang sangat penting untuk memerangi wabak itu.
![]() |
Dzulkefly ramal keadaan akan bertambah buruk |
Sebagai rekod, pada awal Mei lalu, kerajaan negeri Selangor dipimpin HARAPAN mengumumkan saringan Covid-19 besar-besaran dijalankan di seluruh negeri bermula 8 Mei hingga 10 Jun.
0 Comments