PEGUAM terkenal, Mohamed Haniff Khatri menyifatkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sudah tiada kredibiliti dan hak untuk menegur rakyat atas lonjakan kes Covid-19 di negeri itu
Ia selepas Sanusi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS kedah itu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini
Melalui satu kenyataan, Haniff yang merupakan pengasas Piagam Rakyat turut menegaskan bahawa Sanusi wajar menyalahkan dirinya sendiri dan bukan rakyat atas peningkatan kes Covid-19 di Kedah kerana enggan mematuhi SOP.
“Seseorang pemimpin, apatah lagi menteri besar yang sudahpun didapati bersalah melanggar sesuatu undang-undang semestinya hilang hak dan hilang kredibiliti untuk kemudiannya membuat kenyataan berkaitan pelanggaran undang-undang yang sama.
“Kalau cikgu kencing berdiri, maka anak murid pasti akan kencing berdiri, sambil berlari di atas keretapi ekspres kelajuan tinggi,” katanya dengan sinis dalam kenyataan.
Haniff merujuk kompaun RM1,500 dikenakan terhadap Sanusi kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan pandu uji kenderaan 4x4 mewah jenis Ford Raptor berharga RM211,000 di Juru Auto City baru-baru ini.
Terdahulu, tindak tanduk Sanusi bersama dua pemandunya yang memandu uji kenderaan pikap itu didedahkan seorang suri rumah melalui satu rakaman dikongsikan di laman Facebooknya.
Sanusi bagaimanapun menafikan beliau memandu uji kenderaan itu, sebaliknya jurujual yang memandu kenderaan itu. Manakala pegawainya pula mengeluarkan kenyataan yang disifat ramai sebagai tidak masuk akal dan bercanggah.
Bukan sekadar itu, wanita tersebut dikecam dan didakwa cuba memfitnah Sanusi, beliau turut dibuli dan menerima ugutan secara siber oleh penyokong Sanusi.
Susulan kompaun dikenakan terhadap Sanusi baru-baru ini, wanita dikenali sebagai Nini Siron itu kemudian tampil menzahirkan rasa syukur apabila kebenaran akhirnya terdedah.
![]() |
Sanusi wajar salahkan diri sendiri, kata Haniff |
“Banyak pihak telah menuduh saya membuat fitnah. Mereka melabel saya sebagai RBA, menggelar saya sebagai anjing parti politik tertentu, mencela dengan kata-kata lucah dan jijik, mengaibkan saya, memaki hamun suami serta adik kakak saya," katanya dipetik.
Selain Sanusi, dalam kenyataannya juga Hanif turut membidas beberapa pemimpin politik yang dilaporkan beberapa 'pemimpin besar' yang antaranya berkenduri durian dan menjamu selera di restoran kegemaran.
0 Comments