Jangan umum batal darurat macam di pasar malam, tegas Anwar


KETUA PEMBANGKANG
di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan adakah pembatalan semua Ordinan Darurat yang diumumkan kerajaan hari ini sudah dipersembah dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Persoalan itu dibangkitkan Anwar setelah menteri Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan di dalam Dewan hari ini membuat pengumuman bahawa Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada 21 Julai 2021.

Ia mengejutkan ramai Ahli Parlimen kerana tiada pengumuman awal berkenaannya serta ia dianggap boleh membawa implikasi undang-undang.

“Saya belum pasti. Saya minta penjelasan. Kalau ini belum berlaku, pengumuman ini tidak boleh dibuat dengan satu bentuk penghinaan pada institusi Raja-raja Melayu khususnya Agong. Ini bukan politik ringan,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelumnya, media melaporkan persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Johor Baharu, Akmal Mohammad Nasir yang juga mempersoal kenyataan Takiyuddin itu.

Di laman Facebooknya, Akmal berkata Setiusaha Agong PAS itu mengumumkan Ordinan Darurat telah dimansuhkan namun tiada kenyataan mengenainya telah dibuat.

“Kita semua telah tertipu.

“Dah seminggu tapi tiada pengumuman tiada berita.

“Perikatan Nasional nak tipu siapa?

“Apa yang kerajaan cuba sembunyikan?” kata Ketua Pemuda Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di hantaran Facebook sebentar tadi.

Sementara itu, Anwar yang juga adalah Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, pengisytiharan atau pembatalan Ordinan Darurat adalah suatu yang serius.

Perkara itu tegasnya tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya secara spontan kerana tidak memenuhi keperluan yang dinyatakan dalam Artikel 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 150 (3) mesti dipatuhi, tegas Anwar
“Polisi keputusan seperti ini harus dibentangkan secara hormat daripada Ahli Parlimen supaya ada peraku, setuju atau menyambut baik dan ini tak berlaku.

"Tak boleh kata umpamanya 'hari ini kita isytiharkan darurat'. Pada sesi (kemudian) kata 'kita dah batalkan minggu lalu'.  

"Ini pasar malamkah? Kalau ini pun tidak dihormati, bolehkah kita bayangkan hal-hal lain yang kita bincang akan dihormati?  soalnya.



Post a Comment

0 Comments