Laporan: Kumpulan doktor kontrak mahu teruskan hartal

RANCANGAN sekumpulan doktor kontrak yang berkhidmat dengan kerajaan untuk mengadakan hartal pada 26 Julai ini dilapor bakal diteruskan.

Memetik laporan portal Malaysiakini hari ini, kumpulan itu membuat keputusan tersebut selepas Putrajaya didakwa belum menyatakan sebarang tawaran bagi mengatasi masalah dihadapi mereka setakat tengahari tadi walaupun pada 12 Julai lalu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kerajaan akan mengumumkan suatu penyelesaian kepada kemelut berkenaan pada minggu itu juga.

Dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada pengarah hospital-hospital awam, jabatan kesihatan daerah dan negeri, Hartal Doktor Kontrak memberitahu rancangan mereka untuk mengadakan hartal itu akan diteruskan.

"Isu doktor kontrak bukan sahaja berkaitan dengan mereka tetapi juga berkaitan dengan kebajikan rakyat Malaysia.

"Sekiranya doktor kontrak mengikuti nasihat menteri kesihatan dan berpindah ke hospital universiti atau berpindah ke sektor swasta, ini akan memberi kesan kepada tahap perkhidmatan kesihatan (awam) di negara ini.

"Pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa kita kekurangan kakitangan kesihatan untuk mengekalkan sistem penjagaan kesihatan.

"Mereka diperah habis-habisan dan ramai yang kelecuhan... tetapi mereka masih mematuhi keputusan kementerian untuk menjadi tentera dalam perang (melawan Covid-19)," kata surat itu.

Sebagai rekod, Mahiaddin Md Yassin yang dipetik laporan petang ini menyatakan Kerajaan kersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terlibat dengan menawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Bagaimanapun, doktor kontrak terbabit bimbang perpanjangan itu hanya terhad untuk menangani wabak Covid-19 dan mereka akan diketepikan sebaik saja ancaman wabak itu berakhir.

Sehingga kini, pemerintah tegas mereka belum mengumumkan resolusi komprehensif.

"Kami mendesak semua orang untuk menyokong kami menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan melalui hartal ini.

"Bantu kami memperjuangkan hak kami dan hak semua rakyat Malaysia," kata sekretariat Hartal Doktor Kontrak dalam suratnya.

Kumpulan terbabit tuntut resolusi komprehensif
Doktor muda yang berkhidmat sebagai pegawai kesihatan kontrak kerajaan sebelum ini menyatakan kebimbangan tentang nasib masa depan mereka yang tidak menentu selepas menamatkan latihan selama lima tahun di hospital awam.

Mereka mendakwa berlaku kekurangan penyerapan ke jawatan tetap di hospital awam kerana kekurangan belanjawan kerajaan, menyebabkan ramai doktor kontrak terpaksa berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.

Post a Comment

0 Comments