PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) boleh diurus dengan baik tanpa dikawal selia secara langsung oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Melalui satu sidang media di laman Facebooknya, Anwar berkata isu berkaitan Tabung Haji boleh diselesaikan dengan menempatkan seorang wakil Kementerian Kewangan dalam kalangan ahli lembaga pengarah institusi terbabit bagi tujuan semak dan imbang terhadap semua keputusan dilakukan pengurusan lembaga itu.
"Tabung Haji mempunyai rekod yang baik selama puluhan tahun dan berdasarkan pengalaman saya, ia boleh diurus dengan syarat lantik kalangan yang berwibawa seperti yang pernah berlaku dahulu, (apabila) ada wakil-wakil kementerian yang cukup cekap dan bertanggungjawab dalam lembaga (pengarah TH).
"Walaupun dia seorang, tetapi kenyataan, pandangan dan sanggahan dia ada memberi kesan," katanya.
Pandangan itu dilontarkan Pengerusi Pakatan Harapan itu setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilapor mahu meletakkan agensi menguruskan hal ibadah haji umat Islam itu dibawah pengurusan BNM bagi menambah baik pengurusan dan operasi badan itu secara menyeluruh.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Sebelum ini sekumpulan 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya cadangan itu digantung.
Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka menyifatkan tindakan itu tergesa-gesa dan dibuat tanpa konsultasi awam.
Kumpulan itu turut berpendapat, langkah pramatang itu juga boleh memprejudiskan siasatan RCI serta meletakkan mandat siasatan tersebut sebagai lemah dan tidak bermakna.
“Keputusan jemaah menteri dilihat bercanggah dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji semula pelan pemulihan Tabung Haji,”
"Kami menggesa keputusan penetapan Tabung Haji sebagai institusi perbankan Islam digantung dan ditangguh dengan segera sehingga siasatan RCI selesai dan sehingga pandangan semua pihak termasuk pakar dan badan-badan NGO Islam diambil kira,” menurutn mereka.
Antara NGO yang membuat gesaan itu adalah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Pergerakan Keadilan Monetari Malaysia (MMJ).
Sementara itu Anwar turut menambah bahawa lantikan wakil Kementerian Kewangan dalam Lembaga Pengarah TH pernah dibuat sebelum ini iaitu ketika dia menjawat jawatan menteri kewangan.
Ketika itu kata ada seorang menteri - yang tidak dinamakan - cuba melakukan pelanggaran peraturan dalam TH membabitkan kepentingan peribadi diri dan keluarganya.
"Dan bila saya dapat laporan, saya bersetuju dengan pegawai yang mewakili kementerian kewangan (yang tidak bersetuju dengan menteri terbabit).
![]() |
TH boleh diurus dengan baik tanpa letak bawah BNM |
"Itu sejarahnya. Maknanya boleh dibetulkan, pertama dengan wakil kementerian kewangan yang kuat dalam lembaga pengarah TH dan pengurusan yang cekap dan boleh menjalankan tugas menyelamatkan dana TH," kata Anwar dengan menegaskan bahawa pengurusan TH juga harus cekap dan tidak mengizinkan orang politik untuk campur tangan dalam urusan dana umat Islam itu.
0 Comments