Jangan hadkan kehadiran Ahli Dewan ke sidang Parlimen, kata NGO


SEBUAH gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dinamakan sebagai Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional menegaskan bahawa sidang Parlimen yang dijadualkan pada Isnin ini sepatutnya membenarkan kehadiran semua Ahli Dewan Rakyat.

Melalui satu kenyataan, mereka berkata had kehadiran yang dicadangkan sudah tidak lagi relevan memandangkan semua ahli parlimen sudah menerima vaksin Covid-19.

"Lebih-lebih lagi dilaporkan hampir semua kakitangan parlimen, termasuk staf yang mengiringi ahli parlimen layak menerima suntikan awal vaksin yang mana sepenuhnya akan selesai menjelang persidangan hujung Julai ini.

"Maka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, semua ahli parlimen sepatutnya tiada halangan untuk menghadiri sidang dengan jumlah penuh," kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Pandangan itu dibuat susulan kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon bahawa pihaknya sedang menimbang untuk mengehadkan hanya 80 ahli parlimen dalam Dewan Rakyat ketika sidang diadakan.

Menurut gabungan merangkumi Bersih, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Engage dan Bait al-Amanah itu lagi, negara kini berdepan pelbagai isu dan masalah yang tidak dapat dibahas memandangkan parlimen sudah tidak bersidang selama tujuh bulan.

Perintah kawalan pergerakan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan proklamasi darurat pula setakat ini tidak dapat menyelesaikan wabak Covid-19 dan dampak ekonomi yang dibawanya.

Mereka menggesa kerajaan mengambil contoh negara lain yang tetap mengadakan sidang parlimen ketika penularan wabak itu, dengan meminda peraturan mesyuarat dan menggunakan kaedah sidang hibrid.

"Inilah masanya ahli parlimen diberi ruang seluas-luasnya untuk membawa segala resah rakyat sekaligus sama-sama menawarkan solusi terbaik untuknya.

"Ahli-ahli parlimen diingatkan bahawa persediaan untuk persidangan hibrid atau maya tidak perlu sehingga menyekat kuasa ahli parlimen termasuk mengundi dan tidak harus ditakuti sebagai dalih untuk menundakan sidang Parlimen yang akan datang," tegas mereka.

Jangan ada percubaan sekat kuasa Ahli Parlimen
Terdahulu, Rashid berkata soal had 80 ahli parlimen akan dibincangkan dengan ketua whip parti politik dan akan diputuskan tidak lama lagi.

Cadangan itu sama seperti sidang sebelum ini, di mana hanya 80 daripada 222 ahli parlimen dibolehkan menyertai sidang pada satu-satu masa.

Menurut Rashid lagi, peruntukan penyertaan yang ditetapkan adalah 44 ahli parlimen kerajaan dan 36 daripada pembangkang.

Post a Comment

0 Comments