HARAPAN sokong saranan Anwar agar k'jaan salur bantuan bulanan


PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) menyokong penuh saranan Presiden parti KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan memberi bantuan bulanan RM1,500 sebulan untuk golongan B40 dan RM1,000 kepada M20.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup HARAPAN melalui satu kenyataannya berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan Ahli Parlimen Port Dickson itu selepas mengambil kira kesan penurunan pendapatan rakyat ketika kerajaan melanjutkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Akibat pendapatan berkurang kesan daripada PKP, sebahagian golongan M40 turun kepada B40 dan ia melebarkan kesenjangan pendapatan berdasarkan Laporan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia.

“Selain itu, peruntukan bantuan bakul makanan menerusi jumlah pemberian dinaikan daripada RM100,000 kepada RM300,000 disambut baik dan kami menyarankan pihak kerajaan menyalurkan peruntukan berkenaan serta merta,” kata kenyataan itu.

Anwar dalam satu siaran di laman Facebooknya berkata, bantuan bulanan itu wajar disalurkan kepada rakyat.

Ini kerana jelasnya kumpulan tersebut sebenarnya memerlukan bantuan yang konsisten untuk terus bertahan dan bukan bantuan bersifat 'one off' yang sifatnya hanya sebagai bantuan sementara.

Sebagai rekod, rakyat kini mengerakkan kempen kibar #BenderaPutih bagi membantu rakyat yang benar-benar dalam kesulitan terutama buat mereka yang terputus bekalan makanan susulan hilang pendapatan akibat PKP.

Kempen itu yang dimulakan awal minggu ini mendapat sokongan padu rakyat dengan ramai menyatakan hasrat untuk membantu individu yang memerlukan.

Namun beberapa pemimpin PAS dilihat lantang mengkritik kempen tersebut, malah lidah rasmi parti itu dengan konsisten menyiarkan pandangan serta 'dalil' individu-individu yang enggan kempen itu terus diadakan.

Sesetengan pihak melihat kempen tersebut secara jelas memberi gambaran bahawa rakyat sudah berputus harapan sekaligus simbolik bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS hari ini sebagai sebuah kerajaan gagal.

Sementara itu, jawatankuasa itu dalam kenyataan sama  berkata, sebagai menjunjung semangat demokrasi dan federalisme, pihaknya menyeru semua kerajaan negeri melaksanakan perkara sama dengan menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat secara adil dan saksama bagi meringankan beban rakyat secara menyeluruh.

 Jawatankuasa sokong saranan Anwar
“Pihak jawatankuasa juga menyokong sepenuhnya langkah pihak kerajaan dalam memberikan moratorium automatik tanpa faedah kepada semua golongan. Kementerian Kewangan dan institusi perbankan perlu sedar bahawa langkah ini adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat yang mesti dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat jelata,” kata mereka.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup HARAPAN dianggotai Ahli Parlimen Pasir Gudang; Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus; Chong Chieng Jen (Stampin); Natrah Ismail (Sekijang); Sivakumar Varatharaju Naidu (Batu Gajah); Chan Foong Hin (Kota Kinabalu) dan Cha Kee Chin (Rasah)

Ia turut dianggotai Norhayati Bachok (ADUN Maharani) dan Asmirul Anuar Aris  (ADUN Kubang Rotan)


Post a Comment

0 Comments