PENGERUSI Parti Amanah Negara ( AMANAH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah membidas sikap beberapa pemimpin PAS yang dengan terbuka menolak kempen kibar #BenderaPutih yang digerakkan rakyat bagi membantu individu yang dalam kesulitan.
Melalui satu kenyataan, bekas timbalan menteri itu mengingatkan PAS bahawa parti itu ketika berada dalam keadaan 'miskin' telah dibantu rakyat menerusi sumbangkan ke 'tin-tin Milo' digerakkan parti itu.
Rakyat miskin katanya membantu PAS dengan antara mereka yang seikhlas hati memberi cincin dan gelang, namun hari ini diperlekehkan hanya kerana mengangkat bendera putih untuk meminta bantuan wang dan makanan.
“Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh berkata tidak perlu gantung bendera putih, memadai untuk berdoa sahaja.
“Kalau begitu mengapa Pas perlu hulur tin Milo puluhan tahun lamanya untuk derma dan tidak berdoa sahaja selama ini?,” soalnya.
Sebagai ulangan, kempen kibar #BenderaPutih bertujuan mengajak rakyat saling membantu satu sama lain, terutama jiran atau individu memerlukan berhampiran mereka.
Kempen itu kini mendapat sokongan hebat rakyat apabila laporan menyatakan ramai keluarga terputus bekalan makanan kini telah dibantu orang ramai setelah mereka menggantung bendera di luar kediaman mereka.
Kempen itu yang asalnya bukan digerakkan mana-mana pertubuhan politik turut mendapat sokongan dari beberapa syarikat tempatan antaranya Rangkaian pasar raya 99 Speedmart: pengeluar mi segera Vit’s, Tanah Aina Café Shah Alam dan beberapa syarikat lain.
Selain Nik Abduh yang dilihat memperkecil kempen itu, pemimpin PAS lain yang turut membuat kenyataan dilihat kurang senang terhadap usaha tersebut adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali;Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar; Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Mokhtar Senik dan terbaharu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Sanusi yang dikaitkan dengan uji pandu kenderaan mewah jenis Ford Raptor ketika PKP dilaksanakan baru-baru ini menerima kritikan hebat warganet susulan tindakannya mempersoal tindakan orang ramai mengibarkan bendera putih.
Sementara itu, Raja Kamarul yang merupakan Senator Dewan Negara menambah, PAS kini ibarat lupada daratan dan telah hanyut di laut kekuasaan setelah 'menumpang' jadi kerajaan.
Beliau turut merujuk sikap PAS dahulu yang akan mengherdik mana-mana pihak sebagai penderhaka sekiranya menyentuh tentang institusi Diraja dan Majlis Raja-Raja Melayu.
Namun kini setelah berkuasa, sikap PAS jelasnya amat berbeza kerana bukan sahaja telah menderhaka tetapi menunjukkan sikap biadab berterusan apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan seperti berlakon tidak faham terhadap titah untuk Parlimen dan Dun bersidang ‘secepat mungkin’.
Institusi Raja-Raja Melayu yang satu ketika dahulu menyelamatkan nama dan identiti PAS sebagai sebuah parti Islam kata Raja Kamarul diderhakai dengan penuh biadab.
![]() |
Raja Kamarul sifatkan PAS tak kenang budi |
“Di mana Melayunya kalau tidak langsung menunjukkan sedikit hormat atau segan silu kepada Raja-Raja Melayu sendiri, tetapi pada masa yang sama menyuruh bangsa lain menghormati instituisi Raja,” katanya dipetik.
0 Comments