Hantar usul agar Takiyuddin dan Idrus Harun dikenakan tindakan


SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) dilapor mengemukakan usul agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, dan Peguam Negara, Idrus Harun diambil tindakan kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

M Kulasegaran (Ipoh Barat), melalui satu surat yang dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat semalam berkata, usul berkenaan merujuk kepada ucapan Takiyuddin di Parlimen pada 26, 27 dan 28 Julai yang turut dianggap menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan itu katanya dibuat mengikut Peraturan Tetap 26 (1) (p) dan 36 (12).

“Kenyataan ahli parlimen Kota Bharu (Takiyuddin) bahawa ordinan darurat ditamatkan adalah tidak betul dan telah mengelirukan dewan.

“Faktanya adalah pembatalan hanya akan berlaku apabila ia diperkenankan oleh Agong,” katanya dipetik.

Takiyuddin membuat pengumuman mengejutkan di dalam Dewan Rakyat pada Isnin memaklumkan bahawa Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu.

Susulan kenyataan itu ramai Ahli Parlimen membangkitkan apakah pembatalan itu telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Atas desakan, Takiyuddin berkata, dia akan menjawab soalan mengenai pembatalan itu pada Isnin, namun Istana Negara pada Khamis mengeluar satu kenyataan dukacita atas kenyataan Setiausaha Agong PAS itu dengan berkata ia satu kenyataan mengelirukan Dewan dan Ahli Parlimen.
 
Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin itu lagi, Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Takiyuddin dan Idrus di hadapan baginda pada 24 Julai lalu.

Kulasegaran berkata berdasarkan Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan adalah tugas peguam negara untuk memberi nasihat kepada Agong dan kabinet tetapi apa yang berlaku sekarang memperlihatkan kegagalan Idrus menjalankan tugasnya berhubung isu tersebut.

Pada masa sama, Kulasegaran turut merujuk perkara tersebut kepada perintah tetap yang dibuat berdasarkan Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelaksanaan prosedur parlimen, yang menyatakan bahawa; “Tertakluk kepada peruntukan perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap majlis parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.”

Takiyuddin dan Idrus wajar dikenakan tindakan
“Peguam negara seharusnya mempertanggungjawabkan dirinya sebagai paling awal ketika konflik ini berlaku.

“Mengingati perkara di atas, secara jelas peguam negara gagal mematuhi nasihat Agong,” kata bekas Menteri Sumber Manusia itu.

Selain menggesa tindakan sewajarnya diambil terhadap Takiyuddin dan Idrus,  Kulasegaran turut meminta supaya Takiyuddin mengundurkan diri sebagai menteri.

Post a Comment

0 Comments