SEKUMPULAN bekas pegawai-pegawai menteri dan timbalan era kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Dipetik laporan media, mereka membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi susulan satu artikel oleh beliau yang diterbitkan dalam portal Harakah Daily pada Jumaat.
Setiausaha politik kepada Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,Hannah Yeoh, Nor Miswary Ramli mendakwa artikel yang ditulis oleh Hadi berunsur fitnah terhadap kerajaan HARAPAN.
“Kami berpandangan artikel itu boleh menghasut, menyebabkan dan menyebarkan kebencian serta berunsur fitnah terhadap kerajaan HARAPAN,” katanya pada sidang media selepas selesai membuat laporan polis itu pagi tadi.
Dipetik laporan FMT, Miswary menjelaskan bahawa artikel Duta Khas Mahiaddin Yassin ke Timur Tengah itu yang bertajuk “Politiking untuk menyingkirkan Islam” mendakwa bahawa HARAPAN merupakan kerajaan yang melumpuhkan Islam dan umatnya supaya terus berada dalam kelekaan.
Intipati artikel tersebut ulasnya mampu mencetuskan ketakutan dan mengganggu keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, selain menimbulkan kebencian masyarakat terhadap kerajaan HARAPAN.
![]() |
Artikel Abdul Hadi didakwa memfitnah |
“Artikel tersebut disiarkan dengan niat mahu menimbulkan kebencian melampau orang ramai terhadap HARAPAN, serta membangkitkan kemarahan orang Melayu Islam,” katanya lagi.
Sehubungan itu beliau mahu siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dikenakan terhadap Abdul Hadi.
0 Comments