Guan Eng gesa Parlimen debat ‘ketidakcekapan’ pakej rangsangan K'jaan PN


SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng mengesa agar ketidakcekapan kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yassin mengurus pakej bantuan RM530 bilion diperdebatkan dalam sidang Parlimen bermula 26 Julai ini.

Dipetik laporan media, bekas Menteri Kewangan itu berkata, cadangan Kementerian Kewangan untuk menilai semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini daripada 7.5% kepada lingkungan 4% dan unjuran defisit fiskal yang meningkat kepada 7.5%, berbanding ramalan awal 5.4% ketika pengumuman bajet 2021, membuktikan pakej rangsangan tidak memberi impak dihasratkan bagi memacu semula ekonomi.

“Adakah pakej bantuan RM530 bilion menemui kegagalan kerana pelaksanaan yang tersasar, gagal mengenakan bebas faedah ke atas moratorium pinjaman bank dan ketiadaan keberanian memperuntukan suntikan dana terus sekadar RM83 bilion sahaja?

“Persidangan Parlimen pada 26 Julai ini memerlukan perdebatan penuh berkenaan Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan bajet seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dipetik laporan itu.

Guan Eng turut menambah bahawa pakej rangsangan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan yang terkandung dalam bajet persekutuan.

Gesaan Ahli Parlimen Bagan itu menyusul gesaan dibuat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menggesa supaya usul-usul penting terutama berkait kepentingan rakyat dibahaskan dan tidak sekadar dibincangkan

Anwar sebelum ini menyerahkan suatu usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Maydin bagi memastikan sidang dewan akan datang membahaskan Ordinan Darurat, situasi pandemik Covid-19, kadar vaksinasi, kadar ujian saringan serta perincian terkait perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan.

"Usul ini dihantar bagi memastikan ruang perbahasan yang telus dan komprehensif akan berjalan" kata Anwar menerusi perkongsian di Facebooknya.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen menyatakan kebimbangan sidang Parlimen yang dijadualkan hujung bulan ini akan semata-mata menjadi sesi taklimat kerajaan.

Guan Eng gesa bahas isu ketidakcekapan PN
Ia susulan kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak menyebut mengenai perbahasan dewan sebaliknya menyebut bahawa'Mesyuarat khas' itu bertujuan untuk memberi penjelasan kepada ahli parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan diadakan secara hibrid bagi membolehkan  proklamasi dan ordinan darurat dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Post a Comment

0 Comments