Exco S'gor kritik arahan Miti, bimbang timbul kekeliruan

 

LANGKAH Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dikepalai Mohamed Azmin Ali membenarkan sejumlah sektor ekonomi terus beroperasi di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikritik seorang Exco Kerajaan Selangor.

Ng Sze Han yang merupakan exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru berkata, arahan terbaru itu menyebabkan kekeliruan di kalangan pemain industri memandangkan pihak berkuasa tempatan merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, yang menyatakan hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di kawasan itu.

"Kami dapati banyak surat kebenaran oleh Miti bertentangan dengan SOP PKPD yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kegagalan Miti untuk berkomunikasi dengan kementerian lain mencetuskan banyak kekeliruan di lapangan," katanya kepada Malaysiakini.

"Malah, Miti luluskan perniagaan dan perkhidmatan yang tersenarai dalam SOP untuk Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kebanyakan kawasan di Selangor masih dalam PKPD," katanya sambil membayangkan pegawai penguat kuasa di lapangan mungkin tidak mengiktiraf surat kebenaran yang dikeluarkan Miti terhadap perniagaan yang tidak tersenarai dalam perkhidmatan penting.

Miti dalam kenyataan baru-baru ini berkata beberapa sektor - elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan makanan dan minuman utama - dibenarkan beroperasi serta merta.

Susulan kenyataan itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengemukakan cadangan kepada MKN agar hanya membenarkan perkhidmatan penting beroperasi sepanjang PKPD.

Sementara itu, Ng menafikan bantahan disuarakan terhadap keputusan kerajaan persekutuan itu dibuat secara sembarangan.

"Kerajaan persekutuan mengawal dan mengetuai pengurusan pandemik, manakala kerajaan negeri hanya melaksana (arahan)," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa perniagaan dan kilang yang terbabit untuk mendapatkan penjelasan daripada Miti dan MKN sebelum menyambung semula operasi, bagi mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa.

Dipetik laporan Malaysiakini, Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah pula berkata sejumlah kilang di Selangor kini dalam keadaan keliru berhubung arahan bertentangan tersebut.

Dia berkata, sekurang-kurangnya dua kilang E&E di Petaling dan Kuala Langat keliru apabila dia diarahkan oleh pegawai penguat kuasa untuk menghentikan operasi pada hari kedua mereka kembali beroperasi.

"Sebuah kilang pencetak hentikan ujian saringan ke atas 600 pekerja selepas kerajaan negeri halang mereka untuk sambung operasi ketika PKPD. Tetapi kemudian di hari sama, mereka diberitahu boleh jalankan mesin seperti biasa selepas semak dengan Miti.

Ng Sze Han kritik keputusan Miti
"Di Teluk Panglima Garang, pihak berkuasa tempatan serbu sebuah kilang dan ia kemudian sambung semula operasi sebab operator putuskan untuk ikut arahan Miti, bukan kerajaan tempatan.

"Berlaku kekeliruan sam ada kita perlu ikut arahan kerajaan negeri atau pusat," katanya lagi.