Tiada keperluan sambung darurat - Raja-Raja Melayu

 


TIADA keperluan untuk meneruskan perintah darurat selepas 1 Ogos pada pandangan Raja-Raja Melayu.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Raja-Raja Melayu menghadiri perbincangan khas di Istana Negara petang semalam.

"Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

"Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara

"Dalam semangat tersebut Raja-raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang,"kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Menurut Syed Danial lagi, Raja-Raja mengambil maklum angka jangkitan harian yang besar meskipun negara berada dalam perintah darurat.

Raja-Raja juga maklum keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan selain suasana politik negara yang tidak stabil.

Selain itu, Raja-Raja turut menyedari keretakan dalam perpaduan rakyat dan kesusahan terpaksa dipikul rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan .

Raja-Raja Melayu turut menyedari isu-isu berkaitan suasana pekerjaan, hidup dan masalah pembelajaran dihadapi pelajar sekolah dan pusat pengajian tinggi dan kekangan dihadapi umat Islam dan penganut agama lain untuk melaksana urusan agama masing-masing.

Justeru Raja-Raja bukan sahaja menyokong titah Yang di-Pertuan Agong supaya isu berkaitan Covid-19 perlu ditangani  sesegera mungkin, Raja-Raja juga mengingatkan bahawa nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

Raja-Raja tolak sambung darurat
Dan berpandangan bahawa pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan dan sokongan majoriti masyarakat.

"Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip raja berpelambagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang," kata kenyataan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments