Agong titah adakan sidang Parlimen segera


YANG DI-PERTUAN AGONG
,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Demikian dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.

"Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

"Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat," kata Ahmad Fadil dalam kenyataan media.

Semalam, Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan bagi meneliti pandangan yang dikemukakan pemimpin-pemimpin parti politik.

Turut hadir ialah bBeberapa pegawai tertinggi negara  untuk memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara kepada Raja-Raja Melayu.

Berhubung situasi semasa berkaitan Covid, Seri Paduka turut menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.


Seri Paduka Baginda juga, kata Ahmad Fadil turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya "pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Parlimen platform penting bincang isu rakyat
"Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

"Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments