Oleh: SHAHBUDIN HUSIN | Kedudukan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri nampaknya semakin sukar untuk dipertahankan lagi.
Berikutan sikapnya yang hanya sekadar mengambil maklum titah Yang Dipertuan Agong berkaitan keperluan Parlimen dibenarkan bersidang secepat mungkin, beliau kini bukan saja terus ditekan oleh kian banyak pihak, malah terlihat penyokong serta pengampunya juga sudah mula mengalihkan sokongan.
Kalau sebelum ini tekanan ditujukan secara langsung kepada Perdana Menteri kerana kedegilan dan keengganannya membuka Parlimen, tetapi kini perkara itu sudah bertukar dengan menjurus tentang kuasa Agong yang sebenarnya ditekankan sebagai berhak menentukan tarikh sidang Parlimen untuk diadakan.
Ia berikutan ketika ini masih dalam tempoh darurat di mana kuasa Perdana Menteri itu sudah berpindah kepada Agong.
Selain ramai pakar undang-undang yang senada bercakap tentang kuasa Agong itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim dengan tegas berkata, dalam tempoh darurat ini, Agong bukan saia berhak memanggil sidang Parlimen, bahkan mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri.
Kata beliau, prinsip Raja Berperlembagaan di mana Agong terikat dengan nasihat Perdana Menteri di bawah Artikel 40 Perlembagaan sudah tidak terpakai sebaik saja darurat dikuatkuasakan.
“Artikel 40 itu hanya terpakai dalam keadaan biasa, bukan setelah darurat dikuatkuasakan dan ini bermakna keperluan Agong mengambil nasihat Perdana Menteri sebelum mengambil apa-apa tindakan ketika darurat tidak timbul lagi,” ujarnya.
Di samping itu, tambah Zaid lagi, Agong boleh memanggil Perdana Menteri mengadap dan memberitahu beliau jawatannya sebagai Perdana Menteri akan gugur pada 1 Julai 2021.
“Agong boleh namakan penggantinya dengan serta merta.
“Agong juga boleh arahkan Parlimen bersidang untuk memilih Perdana Menteri baharu, jika itulah yang difikirkan terbaik.
“Notis 28 hari untuk Parlimen bersidang tidak perlu diikuti kerana kita dalam darurat dan segala keputusan Agong adalah sah semasa darurat, termasuk isu notis Parlimen bersidang dan ianya tidak boleh dicabar,” tegas Zaid lagi dalam tulisannya di media sosial.
Apa yang menarik, selain Zaid dan sekian ramai pakar undang-undang senada mengenai kuasa Agong itu, dua orang yang sebelum ini dikenali sebagai penyokong Perdana Menteri dan selalu mengiayakan apa saja langkah kerajaan, kini nampaknya sudah pun berubah nada.
Speaker Dewan Negara, Dr. Rais Yatim yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Najib Razak ketika dalam UMNO, kemudian beralih menyokong Tun Mahathir Mohamad apabila Najib hampir lemas, seterusnya menyokong pula Mahiaddin setelah Tun Mahathir hilang kuasa, tanpa berselindung menegaskan bahawa Ordinan Darurat 2021 memberi Agong kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang.
Beliau memetik Seksyen 14 (1) (b) ordinan itu yang menyatakan: “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.
“Kuasa ini diturunkan terus kepada baginda. Penurunan kuasa selesai,” katanya.
Seorang lagi yang sebelum ini diketahui umum sebagai penyokong Perdana Menteri serta kerajaan, Prof Ramlah Adam, barangkali untuk pertama kali bertegas mengatakan titah Agong tentang pembukaan Parlimen perlu segera dilaksanakan oleh Mahiaddin.
Kata beliau, dua kemungkinan boleh berlaku sekiranya titah baginda itu tidak dilaksanakan segera iaitu Agong boleh memilih kerajaan baharu atau melaksanakan pemerintahan yang diketuai tentera.
“Jika titah tidak diikuti, selain kerajaan sekarang boleh dibubarkan, Agong juga boleh adakan pemerintahan tentera kerana baginda adalah Ketua Turus Tentera negara,” katanya.
Untuk itu, menurut beliau, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik buat negara bagi mengelak ekonomi merudum dan pelabur lari berikutan ketidakstabilan politik di Malaysia.
“Perdana Menteri perlu segera melaksanakan titah Agong kerana baginda sudah bertitah supaya Parlimen perlu dibuka secepat mungkin.
“Jika Perdana Menteri tidak mahu membuka Parlimen, akan berlaku pertentangan krisis perlembagaan antara Agong dan kerajaan,” tambahnya lagi.
Yang jelas kini Mahiaddin semakin tersepit dan ruang untuk beliau terus bersilat dan melengah-lengahkan titah Agong semakin tiada inci.
Keinginan dan kehendak rakyat pelbagai pihak sekarang sangat jelas iaitu lebih mahukan Agong menggunakan kuasa Perlembagaan yang dimiliki baginda dalam tempoh darurat ini.
Keinginan dan kehendak itu bukan lagi setakat mahu Agong membenar dan menentukan tarikh Sidang Parlimen, malah sampai ke tahap memecat Perdana Menteri dan menukar kerajaan.
Dalam waktu yang sama, semua ini bermakna, rakyat tidak lagi berada di belakang Mahiaddin.Kedegilan pada titah Agong satu penderhakaan
Bagi rakyat, bersama kedegilan Mahiaddin terhadap titah Agong yang tanpa keraguan ia adalah suatu penderhakaan, kerajaan PN ini sudah tidak diperlukan lagi dan selayaknya dicampak secepat mungkin “ke dalam longkang”.
SHAHBUDIN HUSIN ialah penganalisis isu semasa, bekas wartawan di tahun 80an hingga 90an dan juga penulis buku.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian KartelMedia
0 Comments