Anwar imbau episod pengkhianatan, ingatkan akar umbi jangan taasub


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua ahli parti itu supaya tidak taasub kepada seseorang pemimpin atau kumpulan.

Ketika menggulung perbahasan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2020 yang berlangsung secara maya semalam, Anwar menegaskan bahawa sifat taasub kepada pemimpin atau kumpulan hanya akan membawa kepada pemikiran tidak taat kepada parti yang akhirnya akan membawa kepada tindakan yang tidak ‘selari’ dengan keputusan pimpinan parti.

“Kelemahan kita ini adalah kadang-kadang kita ini terlalu taasub dengan ketua sama ada saya atau yang lain.

"Oleh yang demikian, fikiran kita tidak lagi taat kepada jemaah dan kepimpinan tetapi kita izinkan wujudnya kelompok-kelompok," katanya dipetik.

Dalam ucapannya juga Anwar mengimbau kembali pengkhianatan lalu kerana tidak mahu episod tikam-menikam kembali berulang dalam kalangan saf parti.

“(Kelompok pengkhianat) kemudian akan menikam parti kerana ketaatan mereka itu terhadap kelompok yang menjaga mereka dan dibiaya untuk perkuat kedudukan mereka bukan bersandarkan kepada parti dan perjuangan,” katanya.

Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa akar umbi dan semua peringkat pimpinan parti kembali menggilap idealisme perjuangan dengan menolak rasuah dan salah guna kuasa yang pernah membelenggui KEADILAN

“Sejarah kita juga tak lepas dari pengkhianatan. Sejarah kita juga ada bibit-bibit apabila pemimpin itu diberi sedikit kuasa, (mereka) mengumpul kekayaan luar biasa. Dalam KEADILAN juga ada suaranya bila bercakap berdegar-degar tetapi bila diberi kuasa dia korup.

“Ini harus diberi peringatan kepada kita bukan saja pimpinan tetapi saki baki penyokong yang terpalit kerana pada masa itu saudari kabur dan tak dapat melihat kerana ukurannya adalah curahan wang itu,” katanya.
 
Terdahulu, kira-kira 2,000 perwakilan menyertai kongres itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada Ahad.

16 pembahas dari seluruh negara turut mengambil bahagian dalam kongres tersebut.

Terdahulu, semasa sesi perbahasan, perwakilan Kedah Razaini Md Isa mencadangkan supaya presiden parti mengadakan jajaran baru bersama pelbagai pihak bagi meringankan bebanan rakyat yang terkesan ekoran Covid-19 dan melaksanakannya dengan pihak yang menerima prinsip perjuangan KEADILAN.

“Kita minta presiden dengan prerogatifnya, kita beri wewenang (hak atau kekuasan) untuk presiden laksanakan dan lipatgandakan usaha dapatkan kembali mandat rakyat serta mengutamakan nasib rakyat terbanyak berbanding kepentingan politik dan peribadi," katanya.

Manakala perwakilan Melaka Muhammad Asri Ibrahim pula merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga sepanjang pandemik Covid-19.
Anwar ingatkan ahli parti supaya tak taasub


Dia turut mencadangkan supaya masjid dan dewan serba guna sedia ada di seluruh negara dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi membolehkan negara segera mencapai imuniti kelompok.


"Saya juga ingin cadangkan kepada kerajaan agar semua penjawat awam yang telah memberikan khidmat dengan penuh tanggungjawab sepanjang pandemik ini diberikan insentif penebusan gantian cuti rehat (GCR) bagi meringankan beban mereka," katanya.
 

Post a Comment

0 Comments