HARAPAN rayu Agong sahkan majoriti Mahiaddin Md Yasin


JAWATANKUASA Perundangan Pakatan Harapan (HARAPAN) merayu agar Yang Di-Pertuan Agong mengesahkan sama ada keingkaran perdana menteri, Mahiaddin Md Yassin untuk segera mengadakan sidang parlimen disokong majoriti Ahli Parlimen.

Melalui satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata penolakan untuk menamatkan darurat dan memanggil segera sidang parlimen oleh perdana menteri dan kabinetnya adalah satu penderhakaan kepada dekri dititahkan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Lebih teruk tegas mereka, ia adalah penghinaan kepada institusi Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja Melayu dan parlimen.

"Kami merayu Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budibicara baginda menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengesahkan sama ada keingkaran perdana menteri ini disokong oleh majoriti ahli parlimen.

"Sekiranya perdana menteri tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka adalah jelas bahawa perdana M-menteri tidak lagi mendapat keyakinan majoriti yang mewajarkan YDPA melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk meminta Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri,"katanya kenyataan itu.

Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh William Leong (PKR-Selayang), Mohamed Hanipa Maiduin (Amanah-Sepang), Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Sungai Buloh), Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir), Fadhlina Sidek (PKR) dan Zulqarmain Lukman (Amanah).

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong. Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Sebelumnya pada bulan Februari Baginda juga pernah menitahkan bahawa parlimen boleh bersidang semasa darurat, namun tidak diendahkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Mahiaddin digesa bersikap jujur
Sementara itu, jawatankuasa tersebut membuat penegasan bahawa  perdana menteri dan kabinet perlu bersikap akauntabiliti terhadap parlimen di mana mereka tertakluk kepada pemeriksaan dan soal selidik oleh wakil rakyat.

"Badan eksekutif perlu melaporkan, menjelaskan dan mempertahankan segala tindakan mereka di parlimen dan dengan cara ini, rakyat dilindungi daripada salah guna kuasa oleh badan eksekutif," kata mereka lagi.


Post a Comment

0 Comments