Anwar: Perubahan mesti diterjemahkan dengan tindakan, bukan sekadar slogan


MALAYSIA memerlukan perubahan yang sistemik dalam pentadbiran dan kepimpinan negara.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden PKR sempena Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya hari ini berkata, perubahan itu perlu supaya dapat menghindar sebarang bentuk rasuah serta salah guna kuasa oleh golongan tertentu.

Tegasnya, perubahan tidak akan dapat diadakan sekiranya ia sekadar laungan slogan semata-mata tanpa diterjemahkan melalui tindakan.

"Kalau orang tanya Anwar, Keadilan (PKR) kenapa susah sangat hendak ambil alih pentadbiran negara ini sedangkan 10 tahun berjuang tetapi tidak dapat ambil alih.

"Saya sebut perkara ini saudara, perjuangan ini hendak merubah sistem pentadbiran negara yang korupsi dan sistemik keangkuhan kuasa walaupun pemimpin silih berganti.
 
"Walaupun sebut kadang-kadang ini kekuatan Melayu Islam, tetapi apabila tengok diterjemahkan kepada tindakan, bobroknya sama.

"Oleh demikian, ia bukan laungan, bukan slogan tetapi keikhlasan hati nurani mencernakan, menterjemah dalam pemikiran dan dalam bentuk amal," katanya dipetik.

Perjuangan mesti diterjemahkan dengan ikhlas
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, semua kepimpinan dan ahli parti harus kembali menggilap idealisme untuk mempertahankan prinsip menolak rasuah dan keangkuhan demi kuasa.

"Perjuangan itu adalah pelaksanaan kata-kata, perjuangan itu bukan imbauan dan curah kata-kata tetapi melaksanakan kata-kata," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden "Bangkit Bersama Rakyat" itu.

Post a Comment

0 Comments