PERLETAKAN jawatan secara beramai-ramai Srikandi Bersatu Johor Bahru hanya memberi gambaran ketidakmampuan Mahiaddin Yassin menguruskan parti pimpinannya dengan baik.
Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis melalui satu kenyataan media berkata, sebab-sebab dinyatakan srikandi Bersatu untuk melepaskan jawatan mereka secara serentak jelas menunjukkan bahawa parti itu tidak diurus tadbir dengan baik sehingga menyebabkan ketidakstabilan dalaman,
Justeru beliau merasa khuatir bagaimana negara diurus seorang perdana menteri yang menurutnya gagal menyelesaikan masalah dalaman partinya sendiri.
"Bagaimana parti yang diketuai seorang PM begitu lemah dalam menjaga hal ehwal ahli jawatan kuasa wanitanya? Kalau bab kecil ini pun sudah gagal diurus dengan baik, bagaimana pula ingin menjaga sebuah negara?
"Maknanya negara kita bukan sahaja ditadbir oleh sebuah kerajaan yang tidak stabil tetapi juga PM yang mengetuai sebuah parti yang tidak stabil (di peringkat negeri)," kata kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan seramai 12 pimpinan srikandi Bersatu di Johor Baharu meletak jawatan mereka. Ia susulan rasa tidak puas hati dengan cara Ketua Wanita Bersatu Johor, Azlinda Abdul Latif menguruskan sayap parti itu yang didakwa tidak telus dalam memimpin.
Pengerusi Tetap yang meletak jawatan, Masazlina Bachok sebelum ini mendakwa Azlinda yang juga setiausaha politik kepada Mahiaddin bertindak lepas tangan dalam sesuatu masalah dan menganggap remeh setiap perkara dibangkitkan selain mempamerkan kepimpinan berat sebelah.
Sementara itu, Napsiah yang juga adalah Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat menegaskan bahawa negara memerlukan kerajaan yang kukuh dan ditadbir oleh seorang PM yang bijaksana.
Tanpa strategi yang bijak, katanya, Malaysia tidak akan mampu pulih daripada kemelesetan ekonomi dan pendemik Covid 19.
"Bagaimana parti kerajaan khususnya BERSATU dapat menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 jika perkara (kelemahan mentadbir) ini berlarutan?
"Banyak negara sedang menuju kepada fasa pemulihan sepenuhnya. Bagaimana dengan Malaysia? PM sedang bergelut dengan masalah partinya sendiri?
Napsiah sifatkan Mahiaddin pemimpin gagal |
"Kita tak mahu seorang PM yang hanya sekadar pandai membuat perutusan dan kelam kelibut dengan partinya sendiri," katanya lagi.
0 Comments